Anthony Jackson, pemain bass lagenda meninggal dunia pada usia 73 tahun
2 mins read

Anthony Jackson, pemain bass lagenda meninggal dunia pada usia 73 tahun

NEW YORK — Dunia muzik kehilangan tokoh berpengaruh apabila pemain bass ternama, Anthony Jackson, meninggal dunia pada usia 73 tahun, menurut kenyataan rasmi pengeluar alat muzik, Fodera Guitars, menerusi laman Instagram mereka semalam.

Walaupun punca kematian tidak didedahkan, berita sedih itu mencetuskan gelombang penghormatan daripada rakan artis dan peminat di seluruh dunia yang mengenang sumbangan besar Jackson terhadap perkembangan muzik moden.

Fodera Guitars dalam kenyataan mereka menyifatkan Jackson sebagai antara “pemain bass paling berwawasan dan berpengaruh dalam sejarah muzik”, selain memuji jasanya memperkenalkan konsep ‘contrabass guitar’ enam tali, yang merevolusikan peranan bass dalam genre jazz, funk dan seni persembahan moden.

“Beliau bukan sekadar pemuzik, tetapi pencetus perubahan terhadap cara dunia mendengar dan menghargai bunyi bass. Dunia muzik akan terus kaya dengan sumbangan beliau,” menurut kenyataan itu.

Jackson, yang mula bekerjasama dengan syarikat tersebut sejak 1980-an, terkenal dengan ciptaannya yang menjadi asas kepada bass enam tali moden yang digunakan secara meluas hari ini.

Rakan seperjuangannya, gitaris terkenal Al Di Meola, turut menzahirkan kesedihan di atas pemergian Jackson yang disifatkannya sebagai seorang “inovator sejati dan genius muzik.”

“Anthony adalah antara pemuzik paling luar biasa yang pernah saya main bersama. Bunyi, ketepatan dan jiwanya tiada tandingan. Muziknya akan terus bergema selamanya,” katanya.

Turut merakamkan ucapan takziah ialah pemain piano Latin jazz, Michael Camilo, yang menulis:

“Saya amat sedih kehilangan sahabat lama dan rakan seperjuangan yang luar biasa ini. ‘Antonio’, kenangan kita akan kekal dalam hati selamanya.”

Sepanjang kerjayanya yang bermula sejak tahun 1970-an, Jackson menjadi pemain bass sesi paling dihormati, pernah bekerja dengan nama-nama besar industri seperti Roberta Flack, Chaka Khan, The Bee Gees, Diana Ross, Simon & Garfunkel serta Madonna, termasuk di album sulung penyanyi pop itu.

Pemergian Anthony Jackson bukan sekadar kehilangan seorang pemuzik, tetapi hilangnya seorang tokoh yang mengubah landskap dunia bass elektrik dengan karya dan inovasi yang akan terus dikenang sepanjang zaman.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *