Dr. Solehah Yaacob. - Foto: Sumber media sosial

KUALA LUMPUR: Dr Solehah Yaacob akan mencabar penamatan perkhidmatannya oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Mahkamah Perusahaan selepas mendakwa dipecat dalam tempoh 24 jam tanpa diberi peluang membuat rayuan.

Solehah mendakwa, tindakan UIAM menamatkan perkhidmatannya sebagai kakitangan akademik dibuat secara tidak profesional.

Bekas pensyarah bahasa dan kesusasteraan Arab di UIAM itu turut mendedahkan beliau menolak tawaran pampasan bersamaan enam bulan gaji.

Belliau turut mempersoalkan tindakan UIAM kerana menurutnya, penamatan itu berlaku sehari selepas beliau menerima anugerah berkaitan Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA) daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Saya dipecat dalam tempoh 24 jam dan tidak dibenarkan buat rayuan.

“UIAM mahu bayar saya (pampasan) bersamaan enam bulan gaji, tetapi saya tolak,” katanya memetik laporan portal berita FMT hari ini.

Semalam, Pejabat Komunikasi, Advokasi dan Promosi (OCAP) (UIAM) dalam satu kenyataan memaklumkan, perkhidmatan Solehah di UIAM sebagai kakitangan akademik telah berakhir berkuat kuasa 27 April lalu.

Menurutnya, Solehah tidak lagi memegang jawatan sebagai “profesor” di UIAM atau mewakili universiti tersebut dalam apa-apa perjawatan.

Sehubungan itu, jelasnya, penggunaan sebarang gelaran, jawatan, kulliyyah, pusat, institut, jabatan atau apa-apa bentuk afiliasi rasmi dengan UIAM adalah tidak dibenarkan.

Sebelum ini, Solehah dikritik selepas mengeluarkan beberapa dakwaan yang menimbulkan kontroversi.

Antaranya, dakwaan bahawa orang Rom purba mempelajari teknik pembuatan kapal daripada pelaut Melayu, selain pernah mendakwa orang Melayu mampu terbang dan ada kaitan dengan ‘kung fu terbang’ di China.

Ekoran kenyataan itu, UIAM sebelum ini menegaskan bahawa pandangan Dr Solehah adalah bersifat peribadi dan tidak mewakili pendirian rasmi universiti terbabit.

UIAM berpendirian walaupun prinsip kebebasan akademik dijunjung, namun setiap pandangan harus berpaksikan ketepatan ilmiah agar tidak menimbulkan kekeliruan. – PentasDaily

By Editor3

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *