Foto: Ihsan Polis

BAYAN LEPAS: Seorang guru kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu, selepas keluar dari kediamannya di sebuah pangsapuri di Sungai Ara, di sini, untuk ke surau.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab berkata, kehilangan Mohamad Hijazi Zamri, 26, dilaporkan oleh bapanya pada Ahad lalu, selepas lelaki itu tidak pulang ke rumah.

“Hasil siasatan mendapati sebelum itu, lelaki berkenaan meminta izin ibunya untuk ke Surau Al-Muttaqin di Lilitan Sungai Ara dengan menunggang sebuah motosikal Yamaha LC135 berwarna biru bernombor pendaftaran PQG 275.

“Namun, lelaki itu kemudian tidak pulang ke rumah dan gagal dihubungi ahli keluarga,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Menurut Anuwal, Mohamad Hijazi memiliki ketinggian 155 sentimeter (cm) dengan berat 54 kilogram (kg), selain berkulit sawo matang dan rambut berwarna hitam.

Ujarnya, dia kali terakhir dilihat memakai baju-T berlengan panjang berwarna oren dan seluar panjang berwarna hitam.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaannya diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya melalui talian 04-8662222 atau ke balai polis berhampiran,” katanya. – PentasDaily

By Editor3

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *