KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan agar tindakan disiplin terhadap mahasiswa yang dikenakan hukuman semata-mata kerana menyuarakan pandangan atau kritikan kepada pimpinan negara dilepaskan serta-merta.
Menurutnya, universiti mesti menjadi medan ilmu, pemikiran dan perbahasan yang bebas, melonggarkan kekangan birokrasi dan berani melakukan perubahan agar pendidikan tinggi negara terus maju serta mampu membentuk masa depan Malaysia.
Terdahulu, kata beliau, negara tidak boleh terus bergerak dengan kerangka lama sedangkan dunia pendidikan, ilmu dan teknologi berubah begitu pantas yang menuntut langkah berani dalam melakukan perubahan yang besar dan berani.
Perkara itu, ujarnya, antara yang ditekankan beliau ketika menghadiri Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 13 di Universiti Malaya malam tadi, khususnya mengenai keperluan membentuk kerangka baharu Akta Pendidikan Tinggi yang selari dengan aspirasi transformasi pendidikan negara.
“Sementelahan, akta ini tidak seharusnya menjadi instrumen untuk memperkukuh kuasa pihak luar terhadap dunia akademik, sebaliknya memberikan ruang yang lebih luas kepada universiti untuk mengurus tadbir secara berautonomi, memperkasa kebebasan akademik dan bertanggungjawab terhadap perkembangan ilmu,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya malam tadi.
Sebelum ini, Anwar mengumumkan kerajaan akan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) bagi memberi kebebasan dan ruang demokrasi yang lebih luas kepada gerakan mahasiswa di negara ini.
Beliau menegaskan, langkah tersebut diambil susulan memorandum serta pandangan yang dikemukakan oleh kepimpinan mahasiswa yang mahukan perubahan menyeluruh terhadap akta berkenaan.
Jelas beliau, walaupun pindaan terhadap akta berkenaan telah dilaksanakan sebelum ini bagi membolehkan mahasiswa bergiat aktif, ruang kebebasan tersebut perlu diperkukuh sepenuhnya selaras dengan agenda reformasi pendidikan negara. – PentasDaily

