
Perkhidmatan kereta api laju Whoosh Indonesia rai ulang tahun kedua
JAKARTA – Bagi Zaky Najwan, seorang penjawat awam Indonesia yang sesekali perlu melakukan perjalanan kerja ke Bandung, iaitu sebuah bandar terletak kira-kira 150 kilometer dari Jakarta, tugasan rasmi sering memerlukan jadual padat serta pergerakan yang pantas, lapor Xinhua.
Setiap kali perlu bergerak dengan cepat, perkara pertama yang terlintas di fikirannya ialah Perkhidmatan Kereta Api Laju Jakarta-Bandung.
Dikenali di dalam negara sebagai Whoosh, tren berwarna merah perak itu menghubungkan kedua-dua bandar pada kelajuan maksimum 350 kilometer sejam.
“Menaiki Whoosh menjadi pilihan terbaik setiap kali saya perlu ke Bandung dalam masa singkat,” katanya.
Sejak memulakan operasi rasmi pada 17 Oktober 2023, Whoosh telah mengurangkan masa perjalanan antara Jakarta dan Bandung daripada lebih tiga jam kepada hanya 46 minit.
Ia merupakan kereta api laju pertama Indonesia dan yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara.
Sepanjang dua tahun beroperasi, perkhidmatan sejauh 142.3 kilometer itu telah menjalankan 36,747 perjalanan dengan kadar ketepatan masa melebihi 95 peratus.

Perkhidmatan itu turut mengubah budaya perjalanan ramai rakyat Indonesia termasuk Laurensia Vanessa Hartono, penduduk Padalarang di Bandung Barat, yang tinggal berhampiran Stesen Padalarang.
Keluarganya sering ke Jakarta, yang menurutnya menawarkan lebih banyak pilihan hiburan dan rekreasi berbanding bandar asal mereka.
“Sejujurnya, Whoosh membuatkan kami lebih kerap ke Jakarta,” katanya sambil tersenyum. “Memandu meletihkan. Whoosh pula selesa, mudah dan nyaman.”
Sepanjang tempoh dua tahun itu, Whoosh telah membawa lebih 12 juta penumpang, menurut PT Kereta Cepat Indonesia-China (KCIC), usaha sama antara syarikat Indonesia dan China yang membina dan mengendalikan perkhidmatan itu.
“Selepas dua tahun beroperasi, Whoosh telah menjadi simbol transformasi dan ketahanan dalam sektor pengangkutan moden Indonesia,” kata Eva Chairunisa, Pengurus Besar Bahagian Setiausaha Korporat KCIC.
“Dengan teknologi tinggi, tadbir urus telus dan penekanan terhadap kelestarian, Whoosh terus bergerak ke arah visinya sebagai pengendali pengangkutan bertaraf dunia dan mampan,” tambahnya.
Sebelum pengenalan perkhidmatan kereta api laju itu, Indonesia banyak bergantung pada landasan sempit dan landasan standard, dengan hanya sebahagian kecil daripada rangkaiannya yang dielektrikkan.
Pakar pengangkutan, Arief Rahmanda, berkata projek kereta api laju Jakarta-Bandung bukan sekadar pencapaian infrastruktur, tetapi juga langkah nyata ke arah masa depan yang lebih maju, cekap dan mampan.