Pelajar Perempuan Maut Ditikam di Sekolah: Suspek didakwa esok dan Apa Kita Tahu Setakat Ini?
SHAH ALAM – Suspek kes tikaman di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya akan didakwa esok atas pertuduhan membunuh rakan sekolahnya.
Pejabat Peguam Negara (AGC) mengesahkan pihaknya telah meneliti kertas siasatan (IP) yang dikemukakan polis berhubung kematian pelajar berusia 16 tahun itu.
Apa Kita Tahu Setakat Ini?
Negara sekali lagi dikejutkan dengan tragedi menyayat hati apabila seorang pelajar perempuan tingkatan empat maut selepas ditikam di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama 4, Petaling Jaya, pada 14 Oktober lalu.
Kejadian itu bukan sahaja menggemparkan masyarakat, malah mencetuskan semula perbincangan nasional mengenai keselamatan pelajar di sekolah, kestabilan emosi remaja, serta pengaruh media sosial terhadap tingkah laku golongan muda.

Serangan Pagi Tragedi
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.10 pagi itu, seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun dipercayai menyerang dan menikam mangsa menggunakan beberapa senjata tajam di kawasan tandas perempuan sekolah berkenaan.
Menurut laporan, suspek dikatakan menyimpan perasaan terhadap mangsa dan meluahkan hasratnya malam sebelum kejadian, namun ditolak. Keesokan harinya, dia dipercayai bertindak menyerang mangsa dengan membawa beberapa bilah pisau yang dibeli secara dalam talian.
Seorang saksi yang juga pelajar sekolah itu memaklumkan, suspek telah menahan mangsa di dalam tandas sebelum menikamnya berulang kali. Guru disiplin yang bergegas ke lokasi cuba memecahkan pintu tandas untuk menyelamatkan mangsa, namun suspek bertindak melarikan diri dan cuba menyerang pelajar lain sebelum berjaya ditahan oleh guru serta abang kandungnya sendiri.
Polis yang tiba tidak lama kemudian merampas dua bilah senjata tajam dipercayai digunakan dalam serangan itu. Mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Motif dan Keadaan Emosi Suspek
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, memaklumkan hasil siasatan awal mendapati suspek mempunyai perasaan terhadap mangsa namun tidak pernah meluahkannya.
“Berdasarkan siasatan, tiada hubungan antara mereka berdua sebelum kejadian. Suspek dipercayai mengalami gangguan emosi dan terpengaruh dengan kandungan media sosial,” katanya.
Shazeli turut mendedahkan penemuan nota tulisan tangan di dalam beg suspek yang berbunyi “This world is fake. I have won.” Nota itu kini dijadikan bahan bukti dan sedang diteliti bagi memahami maksud sebenar di sebalik mesej tersebut.


Kelonggaran Keselamatan Sekolah Dipersoal
Siasatan turut mendedahkan senjata digunakan suspek dibeli secara dalam talian, termasuk sebilah pisau lipat dan sebilah kerambit yang disimpan tanpa pengetahuan keluarganya.
Tiada pemeriksaan beg dilakukan di sekolah tersebut, membolehkan suspek membawa senjata tajam ke kawasan sekolah tanpa dikesan.
Hasil ujian air kencing mendapati suspek bebas daripada pengaruh dadah dan tidak mempunyai rekod disiplin sebelum ini.
Sementara itu, bapa suspek berusia 40 tahun meluahkan rasa kesal atas kejadian itu dan menyifatkan anaknya seorang pendiam serta jarang bergaul di rumah.
Mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga bagi urusan pengebumian pada pagi 15 Oktober.
Tuntutan Reformasi Keselamatan dan Bimbingan Pelajar
Tragedi ini berlaku hanya seminggu selepas kes rogol beramai-ramai melibatkan pelajar tingkatan tiga di Alor Gajah, Melaka, sekali lagi mencetuskan kebimbangan terhadap tahap keselamatan dan kesejahteraan pelajar di sekolah.
Insiden ini turut mengundang gesaan masyarakat agar kerajaan memperkukuh sistem bimbingan kaunseling, memperketat kawalan keselamatan di sekolah serta meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan mental dalam kalangan remaja.
Suspek kini direman tujuh hari hingga 22 Oktober bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Pihak polis bersama Kementerian Pendidikan (KPM) dan agensi perlindungan kanak-kanak akan menilai semula prosedur keselamatan sekolah serta sokongan psikologi pelajar bagi mengelak tragedi seumpama ini berulang.