Koerber Labur RM95 Juta Bina Fasiliti Baharu, Perkukuh Peranan Shah Alam Sebagai Hab Teknologi
1 min read

Koerber Labur RM95 Juta Bina Fasiliti Baharu, Perkukuh Peranan Shah Alam Sebagai Hab Teknologi

SHAH ALAM: Koerber Technologies Sdn. Bhd. memperkukuh peranannya sebagai hab pengeluaran serantau dengan pelaburan RM95 juta bagi membina kemudahan pembuatan baharu di sini.

Kemudahan seluas 12,000 meter persegi di koridor perindustrian Hicom itu dijangka siap pada suku keempat 2026 dan mula beroperasi sepenuhnya menjelang suku pertama 2027. Selain meningkatkan kapasiti pengeluaran, fasiliti tersebut turut memperkasa keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan.

Menurut syarikat, pengembangan ini melibatkan penggandaan kapasiti sedia ada bagi mempertingkat pengeluaran mesin berteknologi tinggi untuk industri makanan dan minuman, sekali gus memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap automasi di rantau Asia Pasifik.

Langkah strategik itu juga dijangka mewujudkan lebih 200 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam bidang komersial dan teknikal, di samping menyokong transformasi industri tempatan.

Majlis pecah tanah kemudahan bernilai RM95 juta milik Korber Technologies di Shah Alam, Selasa lalu.

“Pelaburan ini mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab kejuruteraan berteknologi tinggi dalam rangkaian global kumpulan,” menurut kenyataan itu.

Körber AG, syarikat induk kumpulan tersebut, mempunyai kira-kira 13,000 pekerja di lebih 100 lokasi di seluruh dunia merangkumi sektor farmaseutikal, rantaian bekalan dan teknologi. Koerber Technologies Malaysia pula, yang ditubuhkan pada tahun 2000 di Shah Alam, kini menggaji sekitar 300 pekerja dan berfungsi sebagai hab strategik di Asia meliputi lima negara.

Terdahulu, majlis pecah tanah projek berkenaan disempurnakan dengan kehadiran Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung; Timbalan Ketua Misi Kedutaan Jerman di Malaysia, Ulrike Wolf; serta Pengarah MIDA Selangor, Sherulanuar Abd Karim.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *