KUALA LUMPUR – Projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) sepanjang 122 kilometer akan dilaksanakan menerusi kaedah penswastaan di bawah kerjasama awam-swasta (PPP), dengan kos pembangunan ditanggung sepenuhnya oleh pihak yang berjaya dalam proses tender kompetitif.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek yang dicadangkan menghubungkan Kampung Gemuruh, Terengganu ke Tunjong, Kelantan itu akan melengkapkan rangkaian LPT1 dan LPT2 bagi menghubungkan Pahang, Terengganu serta Kelantan.
Menurutnya, Penyata Keperluan (SON) projek berkenaan sudah dikemukakan kepada Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi menyediakan dokumen Permintaan Cadangan (RFP) sebelum dibawa ke Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan keputusan.
“Cadangan itu kini berada pada peringkat penyediaan dokumen RFP,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 (Belanjawan 2027) peringkat dasar bagi Kementerian Kerja Raya di Dewan Rakyat, hari ini.
Nanta berkata, keutamaan kerajaan ketika ini adalah memastikan projek Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) dan Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai (KBKK) berjalan lancar serta disiapkan mengikut jadual.
Bagi projek KBKK sepanjang 70.4 kilometer, kemajuan fizikal keseluruhan kini mencapai 78.80 peratus, manakala jajaran Pasir Hor-Kadok sudah siap sepenuhnya.
Lima pakej yang masih dalam pembinaan dijangka disiapkan pada 2027.
Sementara itu, jajaran LTU di Kelantan membabitkan 10 subpakej bernilai RM3.08 bilion dari Kuala Krai ke Gua Musang dijangka siap sepenuhnya menjelang 2028.
Mengulas kelewatan LTU Pakej 3 yang membabitkan Seksyen 3B dan 3C, beliau berkata pelantikan kontraktor baharu kini berada pada peringkat akhir proses perolehan.
“Surat Setuju Terima disasarkan dikeluarkan menjelang pertengahan November 2026, tertakluk kepada kelulusan Kementerian Kewangan. Ini akan membolehkan kerja pembinaan disambung semula dan baki kerja disiapkan mengikut jadual yang disemak,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Nanta berkata empat daripada 35 pakej kerja projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah sepanjang 706 kilometer sudah siap, manakala baki 31 pakej disasarkan selesai secara berperingkat menjelang 2030.
Kemajuan fizikal Fasa 1A projek itu kini mencapai 89.54 peratus, manakala Fasa 1B mencatatkan 25.53 peratus.
Bagi 2027, Kementerian Kerja Raya diperuntukkan RM1.146 bilion bagi perbelanjaan mengurus, meningkat 5.6 peratus, manakala perbelanjaan pembangunan berjumlah RM9.736 bilion, naik tiga peratus berbanding RM9.607 bilion pada 2026.

