Bandar Kuching, Sarawak

Sarawak sahkan akan terima sebahagian pelaburan AS$50 bilion diumum PM Anwar

KUCHING: Sarawak mengesahkan dijangka menerima sebahagian daripada pelaburan bernilai AS$50 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, membabitkan sektor kecerdasan buatan (AI), teknologi baharu dan pusat data pintar di negeri itu.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, berkata perancangan pelaburan berkenaan sememangnya sudah ada dalam rangka pembangunan negeri, khususnya membabitkan industri pusat data pintar.

Beliau bagaimanapun berkata, identiti syarikat antarabangsa yang terbabit belum boleh didedahkan pada masa ini berikutan pelabur berkenaan adalah antara syarikat terkemuka di peringkat global.

“Memang ada. Kita sudah tidak dapat menyebut pelabur dulu kerana ia syarikat antarabangsa terkemuka. Kita khuatir sahamnya terjejas, jadi saya tidak dapat menyebut nama,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Forum Urbanisasi Sarawak (SUF) di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC) di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pengumuman Perdana Menteri berhubung pelaburan AS$50 bilion (kira-kira RM220 bilion) yang dirancang membabitkan Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Ditanya sama ada keseluruhan nilai AS$50 bilion itu merangkumi pelaburan di Sarawak, Abang Johari berkata beliau tidak pasti mengenai pecahan bagi Semenanjung, namun mengesahkan jumlah berkenaan sememangnya diketahui membabitkan Sarawak.

Mengenai lokasi pelaburan berkenaan, beliau tidak menolak kemungkinan ia dilaksanakan di kawasan Tanjung Embang, yang dikenal pasti sebagai antara lokasi berpotensi untuk pembangunan hab industri dan infrastruktur baharu di Sarawak.

Kelmarin, Anwar mendedahkan pelabur global berhasrat melaksanakan pelaburan bernilai AS$50 bilion dalam bidang AI, teknologi baharu dan pusat data di Sarawak serta Semenanjung Malaysia.

Perdana Menteri berkata, perkara itu dinyatakan pelabur berkenaan menerusi sidang video bersamanya baru-baru ini, dengan pelaburan itu disifatkan antara yang terbesar di rantau ini serta berpotensi membuka peluang pekerjaan baharu bernilai tinggi kepada rakyat, khususnya generasi muda dan graduan institusi pengajian tinggi. – Sumber Berita Harian

By Editor4

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *