Gambar AI.

KUALA LUMPUR: Kawalan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bakal dipertingkat menerusi penempatan unit anjing pengesan (K9) di kawasan tumpuan penumpang serta operasi pengendalian bagasi bermula Isnin ini.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB), Datuk Mohd Izani Ghani berkata, penugasan itu meliputi balai pelepasan, balai ketibaan dan kawasan pemeriksaan kastam bagi mengesan lebih awal barangan terlarang serta potensi ancaman keselamatan.

Menurutnya, operasi K9 turut diperluas ke kawasan pengendalian dan pengasingan bagasi bagi memperketat pemeriksaan terhadap bagasi daftar masuk sebelum dimuatkan ke dalam pesawat.

“Pendekatan keselamatan berlapis ini bermatlamat memperkukuh kawalan di kawasan tumpuan penumpang dan operasi dalaman lapangan terbang, sekali gus melengkapi langkah keselamatan sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, fasa percubaan turut dilaksanakan bagi menilai keberkesanan lokasi penugasan yang ditetapkan sebelum langkah berkenaan diperkemas mengikut keperluan operasi.

MAHB, katanya, akan terus menyokong Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta unit K9 bagi memastikan KLIA kekal selamat dan selesa kepada pengguna.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah KLIA, ACP M. Ravi memaklumkan rondaan unit K9 telah dipertingkat dan dijalankan secara berkala susulan beberapa insiden keselamatan yang berlaku sejak kebelakangan ini.

Langkah memperketat kawalan itu turut mendapat perhatian susulan beberapa kes penyeludupan dadah membabitkan rakyat Malaysia yang ditahan di luar negara.

Pada 10 Oktober lalu, lima rakyat Malaysia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda, Tokyo, Jepun, selepas disyaki cuba menyeludup kira-kira lima kilogram kokain bernilai 120 juta yen (RM3.1 juta) yang disembunyikan dalam pelapik kasut yang dilubangkan.

Dalam kes berasingan, seorang juruterbang syarikat penerbangan komersial warga Malaysia berusia 39 tahun ditahan pihak berkuasa Indonesia sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, pada Julai lalu.

Keperluan memperkukuh pemeriksaan di pintu masuk antarabangsa negara turut dibangkitkan selepas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, mendedahkan bahawa sindiket dadah antarabangsa mengubah taktik bagi mengelak dikesan di lapangan terbang.

Antara modus operandi yang dikenal pasti ialah membuat tempahan penerbangan pada saat akhir bagi individu yang dijadikan keldai dadah atau memilih penerbangan pada waktu puncak di KLIA untuk mengambil kesempatan daripada kesesakan penumpang.

By Editor4

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *