KUALA LUMPUR: Kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak dua peratus bagi syer majikan untuk pekerja bukan warganegara disifatkan relatif rendah, dengan mengambil kira keperluan melindungi kebajikan pekerja dan kos yang ditanggung majikan.
Kementerian Kewangan berkata, kadar itu ditetapkan bagi mengimbangi objektif memperluas perlindungan sosial pekerja dengan keperluan mengawal kos perniagaan, khususnya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Kerajaan mengambil maklum cabaran yang dihadapi oleh majikan berhubung peningkatan kos perniagaan, khususnya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Di bawah peruntukan Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991, bermula Oktober 2025, setiap majikan diwajibkan membuat caruman KWSP bagi pekerja bukan warganegara yang bekerja di Malaysia,” menurut kementerian menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, hari ini.
Kementerian menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) mengenai langkah kerajaan mengurangkan beban PKS susulan peningkatan kos menjalankan perniagaan, termasuk cadangan supaya caruman KWSP ditanggung sepenuhnya oleh pekerja asing.
Menurut kementerian, sejak pelaksanaan caruman mandatori itu pada Oktober 2025, seramai 1,754,460 pekerja bukan warganegara menerima caruman KWSP daripada 78,129 majikan.
Daripada jumlah itu, sebanyak 86 peratus atau 67,194 majikan terdiri daripada PKS, iaitu majikan yang mempunyai tidak melebihi 200 pekerja bagi sektor pembuatan dan 75 pekerja bagi sektor perkhidmatan serta sektor lain.
“Perkembangan ini menunjukkan pelaksanaan caruman mandatori mula diterima dan dilaksanakan dalam kalangan majikan, termasuk dalam kalangan PKS,” menurut kementerian.
Kementerian berkata, pelaksanaan caruman mandatori itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan memperluas liputan perlindungan sosial kepada semua pekerja di Malaysia, selaras dengan amalan antarabangsa.
Pada masa sama, kerajaan mengalu-alukan cadangan daripada semua pihak bagi menambah baik dasar berkenaan dari semasa ke semasa.
“Kerajaan akan terus memantau keberkesanan inisiatif-inisiatif ini serta melibat urus dengan persatuan dan komuniti PKS bagi memastikan bantuan yang disediakan sampai kepada perniagaan yang memerlukan,” katanya. – BERNAMA

