Amai Residence: Rumah idaman di Putrajaya pada harga permulaan RM240,000
DENGAN tawaran akses yang strategik, perancangan kawasan yang sistematik serta persekitaran yang bebas sesak, Putrajaya sememangnya diketahui salah satu daripada lokasi premium untuk memiliki rumah.
Namun impian itu bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai memandangkan kebanyakan harga hartanah yang tinggi di kawasan tumpuan itu.
Bagi memenuhi impian gaya hidup kontemporari dan eksklusif masa kini, WeBest Sdn. Bhd. tampil memperkenalkan projek bernilai tinggi mereka iaitu Amai Residence.

Unit kediaman tiga kategori di Shafbury, Putrajaya itu ditawarkan pada harga permulaan RM240,000 bagi Rumah Selangorku, RM300,000 untuk Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) dan RM380,000 untuk unit terbuka.
Menariknya, kesemua unit ditawarkan pada keluasan 1,000 kaki persegi dengan kelengkapan tersedia seperti kabinet dapur, pendingin hawa dan pemanas air bagi unit terbuka (sahaja).
Pengarah WeBest, Calvin Chan berkata, projek itu merupakan penampilan sulung syarikatnya di Lembah Klang selepas lebih 30 tahun tertumpu di Melaka.
“Kini persepsi ‘memilik kediaman di Putrajaya sesuatu yang mustahil’ bakal berubah melalui pelancaran Amai Residence.
“Tawaran ini ibarat gerbang kepada mereka yang mahu menikmati gaya hidup eksklusif Putrajaya, tanpa perlu bebanan kewangan.
“Ini juga simbol komitmen kami dalam menyediakan rumah berkualiti tinggi pada harga berpatutan,” katanya pada majlis pelancaran yang disempurnakan oleh Exco Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor, Datuk Borhan Aman Shah.
Calvin berkata, dengan lokasi yang begitu hampir dengan pusat pentadbiran kerajaan, Amai Residence sesuai untuk pembeli rumah pertama, penjawat awam mahupun pelabur yang mencari hartanah bernilai tinggi.