Taiwan – Waves of Wonder: Malaysia Tumpuan Utama Kempen Pelancongan Taiwan
3 mins read

Taiwan – Waves of Wonder: Malaysia Tumpuan Utama Kempen Pelancongan Taiwan

KUALA LUMPUR – Taiwan Tourism Administration terus menjadikan rakyat Malaysia sebagai antara sasaran utama pasaran pelancongannya menerusi pelancaran kempen promosi berskala besar di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur sepanjang Mei ini.

Menerusi kempen bertemakan “Taiwan – Waves of Wonder”, Taiwan mempergiat usaha menarik lebih ramai pelancong Malaysia dengan menawarkan pengalaman pelancongan interaktif, mesra Muslim dan sesuai dengan trend generasi digital masa kini.

Kempen tersebut melibatkan delegasi besar terdiri daripada 29 organisasi dan 64 wakil termasuk agensi kerajaan tempatan, syarikat penerbangan, hotel, taman tema dan pemain industri pelancongan Taiwan.

Abe Chou (tengah) bersama rakan strategik pelancongan Taiwan semasa Pameran Pelancongan Taiwan di Queenbay, Pulau Pinang.

Malaysia dilihat sebagai antara pasaran paling penting Taiwan di bawah Dasar Pandang ke Selatan Baharu (New Southbound Policy), khususnya dengan peningkatan mendadak permintaan rakyat negara ini terhadap pelancongan luar negara.

Selain hubungan erat antara rakyat kedua-dua negara, faktor penerbangan terus yang pelbagai, perjalanan singkat serta kemasukan tanpa visa terus menjadikan Malaysia pasaran strategik buat Taiwan.

Siri promosi berlangsung dari 13 hingga 20 Mei menerusi roadshow di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur yang merangkumi pameran pelancongan, sesi padanan perniagaan (B2B) dan persembahan budaya.

Di Queensbay Mall, Pameran Pelancongan Taiwan dari 15 hingga 17 Mei berjaya menarik perhatian pengunjung menerusi pelbagai tarikan visual termasuk maskot “OhBear” bersaiz gergasi serta instalasi belon udara panas Taitung yang menjadi lokasi popular untuk bergambar.

Acara itu turut dimeriahkan dengan persembahan budaya dan hiburan daripada kumpulan Taiwan seperti “Liu-Sheng-Ji” dan “Flying Space” yang menampilkan gabungan muzik moden, tarian jalanan dan akrobatik.

Bagi mendekati generasi muda Malaysia, Taiwan turut menggandingkan beberapa pempengaruh terkenal termasuk LizQin dan Cayeeloh (炸魚) untuk berkongsi pengalaman mereka melancong ke Taiwan.

Mereka memperkenalkan Taiwan sebagai destinasi yang menawarkan pelbagai pengalaman termasuk makanan bertaraf antarabangsa, budaya unik, alam semula jadi dan hiburan keluarga.

Dalam masa sama, Taiwan turut memberi perhatian khusus terhadap pasaran Muslim Malaysia memandangkan hampir 70 peratus penduduk negara ini beragama Islam.

Malah, Taiwan kini berada di tangga keempat destinasi bukan negara OIC terbaik dalam Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI) Mastercard-CrescentRating 2025.

Selain pelancong Muslim, Taiwan juga menyasarkan segmen premium dan pelancong berulang khususnya dalam kalangan masyarakat Cina Malaysia dengan menawarkan pakej pelancongan lebih eksklusif dan itinerari bertema.

Abe Chou

Pengarah Taiwan Tourism Administration (Pejabat Kuala Lumpur), Abe Chou berkata, strategi promosi masa depan akan terus diperkukuh menerusi kerjasama bersama KOL dan kandungan hiburan bagi memastikan Taiwan kekal menjadi destinasi pilihan utama rakyat Malaysia.

Menurut beliau, sambutan diterima amat memberangsangkan apabila pameran di Pulau Pinang berjaya menarik lebih 10,000 pengunjung selain mencatatkan tempahan pakej pelancongan secara terus di lokasi.

Sementara itu, sesi padanan perniagaan di The Westin Kuala Lumpur menghimpunkan lebih 100 pemain industri pelancongan tempatan dan menghasilkan kira-kira 5,000 sesi padanan perniagaan antara syarikat Malaysia dan Taiwan.

Perkembangan itu dijangka terus memperkukuh hubungan industri pelancongan kedua-dua negara serta meningkatkan jumlah pelancong Malaysia ke Taiwan dalam tempoh terdekat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *