KUALA LUMPUR – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) mempertahankan kedudukan Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan berpandangan beliau wajar diberikan ruang untuk meneruskan amanah serta agenda pembaharuan yang sedang dilaksanakan.
Presiden GPMS, Fazreen Fauzi berkata, pihaknya melihat kepimpinan Asyraf Wajdi sehingga hari ini sebagai aktif, responsif dan dekat dengan isu pendidikan serta kebajikan pelajar khususnya dalam institusi pendidikan di bawah MARA.
Menurut beliau, penilaian terhadap Pengerusi MARA mesti dibuat berdasarkan prestasi, hasil kerja dan keberkesanan dasar bukannya berdasarkan persepsi atau tekanan politik.
“Jika ada pihak mahu mempertikaikan kepimpinan Dr. Asyraf Wajdi, kemukakan bukti kegagalan beliau. Jangan jadikan MARA sebagai modal pertukaran kepimpinan tanpa alasan yang kukuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Fazreen, MARA bukan milik mana-mana individu atau parti politik, sebaliknya merupakan sebuah institusi amanah yang mempunyai tanggungjawab besar terhadap pembangunan pendidikan, keusahawanan dan mobiliti sosial Melayu serta Bumiputera.
Sehubungan itu, ujarnya, GPMS berpandangan sebarang perubahan kepimpinan MARA perlu dibuat atas pertimbangan kepentingan institusi dan prestasi bukan semata-mata kerana tekanan atau sentimen tertentu.
Jelasnya, GPMS juga mahu melihat kesinambungan terhadap usaha memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kualiti pendidikan MARA serta memastikan kebajikan pelajar terus menjadi keutamaan.
“GPMS tidak mempertahankan individu secara membuta tuli.
“GPMS mempertahankan kepimpinan yang kami lihat masih mampu memberikan khidmat dan membawa agenda MARA ke hadapan.
“Sekiranya terdapat kelemahan, tegurlah. Jika ada ruang penambahbaikan, perbaikilah.
“Tetapi jangan tukar kepimpinan semata-mata untuk memenuhi tuntutan politik tanpa membuktikan bahawa pengganti mampu memberikan prestasi yang lebih baik,” katanya.
Tambah beliau, MARA terlalu penting untuk masa depan Melayu dan Bumiputera untuk dijadikan gelanggang percaturan politik.
“Kekalkan yang berprestasi. Perbaiki yang lemah. Utamakan MARA bukan kepentingan politik,” katanya.
Sebelum ini, seorang perwakilan dalam Kongres Nasional Keadilan 2026 menyarankan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar mempertimbangkan untuk menggantikan Asyraf Wajdi sebagai Pengerusi MARA.
Cadangan itu timbul kerana mengaitkan jawatan beliau sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sepanjang tempoh Lembaga Tabung Haji (TH) disiasat oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI). – PentasDaily

