KUALA LUMPUR: Semua sekolah menengah dan sekolah rendah di bawah seliaan 10 buah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Sarawak yang sebelum ini ditutup kerana bencana jerebu akan dibuka semula esok.
Sekolah-sekolah terbabit melibatkan daerah Kuching; Padawan; Bau; Lundu; Samarahan; Simunjan; Serian; Sri Aman; Lubok Antu dan Betong.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pembukaan semula sekolah itu susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di daerah tersebut yang semakin baik setakat pukul 10 pagi tadi.
Bagaimanapun, katanya, JPN Sarawak sentiasa menitikberatkan penjagaan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid khususnya semasa menghadapi keadaan cuaca panas ataupun sebarang keadaan cuaca yang di luar jangkaan.
Sehubungan itu, jelasnya, pihak sekolah diingatkan supaya mengambil langkah-langkah berikut sekiranya fenomena jerebu melanda kawasan atau daerah di mana sekolah itu berada.
Antaranya, tambah kenyataan itu, Jika bacaan IPU melebihi 100, pihak sekolah hendaklah menghentikan semua aktiviti di luar bilik darjah yang melibatkan semua murid.
“Jika bacaan IPU melebihi 200, semua sekolah yang berada di dalam kawasan atau daerah hendaklah ditutup dengan serta merta,” katanya.
Tambahnya, JPN Sarawak juga telah memberi peringatan kepada semua pejabat pendidikan daerah (PPD) dan semua institusi pendidikan bawah seliaan agar melaksanakan langkah-langkah pencegahan.
Antaranya, kata kenyataa itu, Memantau aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada keadaan cuaca panas atau berjerebu bagi memastikan kesihatan mereka tidak terjejas.
Selain itu, ujarnya, memastikan bekalan air minuman bersih mencukupi dan menggalakkan murid membawa air minuman sendiri.
Katanya, murid-murid juga dinasihatkan memakai penutup hidung (nasal mask) dan minum air dalam kuantiti yang sesuai dengan kerap bagi mengawal suhu badan.
“Selain itu, membekalkan air minuman kepada murid asrama sekiranya keadaan kritikal dan tiada sumber lain bagi mendapatkan air minuman dan sentiasa berwaspada serta bekerjasama dengan klinik dan hospital berdekatan sekiranya berlaku sebarang komplikasi ke atas murid akibat jerebu,” katanya. – PentasDaily

