Oleh Hassan Abdul Karim
Ahli Parlimen PKR
Tajuk analisis ini agak provokatif. Bukan berniat untuk melemahkan semangat, sebaliknya untuk menyedarkan kepimpinan tertinggi PKR supaya mencari jalan pemulihan parti.
2. Bermula dengan keputusan PRN Johor 11 Julai yang lalu. Terpaksa PKR mengakui bahawa naratif yang digunakan telah gagal. Tema kempen yang cuba menyatakan bahawa pembangunan di Johor dalam tempoh empat tahun terakhir ini, iaitu pembangunan ekonomi; peningkatan tinggi pelaburan beratus billion ringgit; infrastrukur mega dan Zon kerjasama ekonomi Johor-Singapura adalah kerana kerjasama dan sokongan kuat oleh Kerajaan Persekutuan. Fakta-fakta tersebut diakui oleh rakyat Johor tetapi tidak diterjemah kepada undi.Soalannya mengapa? PKR kena cari jawapannya. Lebih spesifik, kenapa dari 20 calon PKR bertanding, hanya satu kerusi sahaja yang menang. Itupun di Puteri Wangsa, satu kawasan DUN bukan majoriti Melayu. Soalan yang lebih sukar hendak dijawab mengapa hanya 6% sahaja orang Melayu yang mengundi PKR dalam PRN Johor baru-baru ini?
3. PKR lebih bersemangat apabila memasuki PRN Negeri Sembilan 1hb. Ogos yang lalu. Berbanding Johor, kerajaan Negeri Sembilan sebelum DUN bubar adalah Kerajaan PH dan Menteri Besarnya dari PKR. Namun sekali lagi naratif PKR dan PH yang digunakan semasa kempen telah gagal. Naratif yang mewar-warkan rekod prestasi kerajaan PH Negeri Sembilan yang telah mentadbir Negeri Sembilan dari tahun 2018 hingga 2026, selama 8 tahun dengan kepimpinan Menteri Besar yang popular berserta imej kerajaannya yang berprestasi bersih dari salahguna kuasa, tatakelola pentadbiran negeri yang baik dari segi ekonomi dan pembangunan, tetapi masih gagal untuk memenangi hati pengundi sehingga Menteri Besar juga kalah di DUN Linggi.Yang perlu disedari oleh kepimpinan PKR kenapa semua calon Melayu PKR tewas dalam PRN Negeri Sembilan?
4. Amat malang bagi rakyat Malaysia jika PKR sebuah parti politik yang mempunyai objektif atau tujuan yang baik untuk mendirikan sebuah negara yang bersatu padu bagi rakyatnya yang pelbagai kaum, agama dan budaya kini berada sebagai satu spesis yang mungkin pupus dan terancam. Rekod selama lebih suku abad dapat dilihat PKR berusaha menegakkan keadilan untuk semua rakyat; demokrasi yang lebih luas dan bermakna dan agenda-agenda reformasi yang penuh memberi harapan.
5. Musuh bagi PKR bukan parti-parti lawan tetapi diri PKR sendiri. Kejayaan PKR membentuk Kerajaan Persekutuan dan telah mentadbir negara hampir 4 tahun adalah satu pencapaian yang tidak boleh sesiapa nafikan. Tetapi prestasi ekonomi yang disokong dengan data-data itu tidak cukup untuk diterjemahkan ke peti undi. Isu kepada rakyat bukannya data stastik tetapi adalah keyakinan rakyat kepada kepimpinan negara.Jika keyakinan atau trust itu defisit, maka PKR itu akan menghadapi masalah bila sampai pilihanraya nanti.
6. Saya harap analisis saya ini tidak tepat dan melesit sama sekali. Jika para pemimpin PKR percaya PKR masih ada masa untuk mengubah keadaan dan menyelamatkan PKR untuk terus menang dan menjadi kerajaan. Itulah yang sebaik-baiknya. Ujian terakhir ialah PRN Negeri Melaka, mungkin September akan datang. Jika PKR menghasilkan kejutan dan beroleh kemenangan yang bermaruah di Melaka, maka buangkan sahaja tulisan ini ke tong sampah.
**Artikel ini seperti dipetik menerusi hantaran di Facebook Hassan Abdul Karim

