Foto: Ihsan Bomba

KOTA TINGGI:  Tiga maut iaitu masing-masing dua lelaki dan seorang wanita selepas dua kenderaan bertembung dalam kemalangan di Jalan Jemaluang, di sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing, Pegawai Bomba Kanan II Azlan Hamzah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.05 petang sebelum tiba di lokasi kira-kira 30 minit kemudian.

Sebaik sahaja tiba, katanya, didapati kemalangan membabitkan sebuah Honda City dan Toyota Vios.

“Honda City dinaiki seorang lelaki berusia 21 tahun dan wanita berusia 20 tahun, manakala Toyota Vios membabitkan seorang lelaki berusia 31 tahun.

“Ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat termasuk rescue cutter dan stretcher.

Ujarnya, kesemua mangsa berjaya dikeluarkan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi dikawal pada jam 6.45 petang dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.59 petang,” katanya. – PentasDaily

By Editor3

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *