PENGELUAR peranti audio, FiiO, nampaknya belum mahu membiarkan peminat audio terus tenggelam dalam dunia digital apabila memperkenalkan CP11, pemain kaset mudah alih baharu yang menggabungkan nostalgia format analog dengan beberapa sentuhan moden.
Pada asalnya, FiiO merancang melancarkan CP15, namun pelancarannya ditangguhkan berikutan cabaran menghasilkan mekanisme pemuatan ultra nipis yang memenuhi standard ditetapkan.
Sebagai gantinya, CP11 diperkenalkan terlebih dahulu, sekali gus memberi peluang kepada peminat kaset untuk kembali menikmati pengalaman mendengar muzik melalui medium analog.
Menurut FiiO, CP11 menggunakan mekanisme ultra nipis serba baharu serta kepala magnet berkualiti lebih tinggi, yang menjadi antara komponen penting dalam menentukan bagaimana isyarat daripada pita diterjemahkan kepada bunyi.


Bagi peminat audio, peningkatan pada bahagian kepala magnet berpotensi memberikan pembacaan data yang lebih baik, sekali gus membantu menghasilkan persembahan bunyi yang lebih bersih dan seimbang. Ia turut dilengkapi motor tanpa berus serta reka bentuk litar yang diperbaharui bagi memastikan pengalaman pendengaran lebih konsisten.
Menariknya, CP11 turut membawa sokongan Bluetooth, membolehkan karakter bunyi daripada format kaset dinikmati menerusi headphone atau earphone tanpa wayar.
Gabungan teknologi moden dengan sumber audio analog itu menjadikan CP11 lebih daripada sekadar pemain kaset retro, sebaliknya satu percubaan FiiO untuk mempertemukan peminat bunyi analog dan kemudahan audio moden dalam satu peranti mudah alih.
CP11 sekurang-kurangnya akan ditawarkan dalam warna merah, krim beige dan biru turquoise muda.
Harga rasmi FiiO CP11 masih belum diumumkan, namun beberapa laporan industri menjangkakan pemain kaset berkenaan mungkin ditawarkan sekitar US$100 (kira-kira RM400), apabila dilancarkan.

