KUALA LUMPUR – Inovasi perlu terus diperkasa sebagai kekuatan utama bagi menggerakkan ekonomi, meningkatkan daya saing negara serta membentuk masyarakat yang berilmu dan berpemikiran ke hadapan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hasil penyelidikan di universiti tidak seharusnya terhenti di makmal atau sekadar berada di atas kertas, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D), dikembangkan serta dikomersialkan.
Beliau berkata, usaha itu memerlukan sinergi lebih kukuh antara universiti, syarikat berkaitan kerajaan (GLIC), sektor industri, swasta dan pelabur.
“Persoalannya bukan sekadar berapa banyak dana yang disediakan, tetapi sejauh mana dana, kepakaran dan kapasiti yang ada dimanfaatkan secara optimum dengan tatakelola yang baik.
“Ini penting supaya segala usaha berkaitan inovasi mampu menghasilkan manfaat serta nilai yang nyata kepada negara,” katanya.
Anwar berkata demikian menerusi hantaran di Facebook selepas menyempurnakan National Innovation & Commercialisation Expo (NICE) 2026.

Menurut beliau, Malaysia juga perlu lebih berani meneroka dan membangunkan teknologi baharu susulan perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI), teknologi kuantum dan pelbagai inovasi terkini.
Katanya, penerokaan teknologi berkenaan perlu turut diperkukuh dalam ekosistem universiti bagi memastikan negara bukan sekadar menjadi pengguna teknologi.
“Kita tidak mahu sekadar menjadi pengguna teknologi, tetapi turut mampu mencipta, menguasai dan memanfaatkannya untuk masa depan negara,” katanya.

