RUMAH yang indah tidak semestinya perlu dipenuhi perabot mahal, warna yang terang atau hiasan yang mencuri perhatian. Kini, kecenderungan dekorasi semakin bergerak ke arah gaya yang lebih tenang dan sederhana menerusi konsep Quiet Luxury atau ‘kemewahan senyap’.
Seperti namanya, gaya ini menampilkan kemewahan secara halus. Tiada keperluan untuk menunjukkan harga sesuatu barangan atau memenuhi ruang dengan hiasan yang berlebihan.
Sebaliknya, perhatian diberikan kepada keselesaan, kualiti bahan, tekstur dan suasana keseluruhan ruang.
Berbeza dengan gaya minimalis yang kadangkala dikaitkan dengan garisan yang terlalu kemas, permukaan licin dan ruang yang hampir kosong, Quiet Luxury mempunyai sentuhan yang lebih lembut dan hangat.
Kayu semula jadi, linen, kapas, batu, marmar, bulu dan baldu dalam tona lembut menjadi antara pilihan utama.

Kemasan juga tidak perlu terlalu berkilat. Kayu yang dibiarkan menampilkan tekstur asal, logam dengan kemasan matte dan fabrik yang tidak terlalu berkilau membantu menghasilkan penampilan yang lebih santai.
Warna pula biasanya berkisar pada rona neutral seperti putih gading, krim, beige, taupe, coklat lembut dan kelabu. Warna-warna ini menjadikan ruang lebih mudah dipandang dan tidak cepat terasa ketinggalan zaman.
Namun, Quiet Luxury tidak bermaksud rumah perlu kelihatan kosong atau membosankan. Sebaliknya, gaya ini masih membenarkan penggunaan elemen yang menjadi tumpuan, tetapi dalam kadar yang terkawal.
Sebagai contoh, sebuah sofa besar dengan fabrik berkualiti, meja kayu yang mempunyai tekstur menarik atau rak buku yang memenuhi satu bahagian dinding boleh menjadi titik fokus ruang.


Rahsia utama gaya ini sebenarnya terletak pada pemilihan bahan.
Daripada membeli banyak barangan dekorasi murah untuk memenuhi ruang, konsep Quiet Luxury lebih mengutamakan beberapa barangan yang berkualiti dan boleh digunakan untuk tempoh yang lama.
Sebuah meja makan kayu yang kukuh, kerusi yang selesa, lampu dengan reka bentuk ringkas atau permaidani berkualiti mungkin sudah mencukupi untuk mengubah suasana sesebuah ruang.
Pendekatan ini juga selari dengan konsep kehidupan yang lebih perlahan atau slow living, iaitu mengutamakan pengalaman, keselesaan dan penggunaan barangan secara lebih bermakna.
Dalam konteks dekorasi rumah, ia bermaksud tidak perlu sentiasa mengejar trend baharu.
Perabot yang mempunyai reka bentuk klasik dan bahan yang tahan lama boleh digunakan bertahun-tahun tanpa kelihatan lapuk.
Pada masa sama, pemilik rumah boleh mengurangkan kecenderungan membeli barangan semata-mata kerana ia sedang popular.
Satu lagi aspek penting ialah pencahayaan.

Cahaya semula jadi yang masuk melalui tingkap, langsir berwarna cerah dan penggunaan lampu dengan cahaya lembut boleh memberikan suasana lebih nyaman.
Gabungan pencahayaan, tekstur dan warna neutral inilah yang menjadikan Quiet Luxury terasa lebih dekat dengan konsep kesejahteraan berbanding sekadar mengejar kemewahan.
Yang menariknya, gaya ini sebenarnya tidak semestinya memerlukan bajet yang besar.


Tidak semua barangan perlu mahal atau berjenama. Apa yang lebih penting ialah memilih barangan yang mempunyai kemasan baik, selesa digunakan dan sesuai dengan keseluruhan ruang.
Malah, perabot lama yang masih kukuh boleh diberikan nafas baharu melalui susunan yang lebih kemas, kemasan kayu yang sesuai atau digabungkan dengan fabrik dan aksesori baharu.
Dalam erti kata lain, Quiet Luxury bukan tentang berapa banyak wang yang dibelanjakan untuk menghias rumah. Ia lebih kepada bagaimana ruang itu memberikan rasa tenang, selesa dan menyenangkan apabila didiami.
Mungkin itu sebabnya gaya ini semakin mendapat perhatian.
Dalam kehidupan yang semakin sibuk, rumah tidak lagi sekadar tempat untuk pulang. Ia menjadi ruang untuk berehat, melapangkan fikiran dan menikmati masa bersama keluarga.
Dan dalam Quiet Luxury, kemewahan sebenar bukanlah apa yang dilihat oleh tetamu, tetapi apa yang dirasai oleh penghuni rumah itu sendiri. – PentasHias
