KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menyifatkan adalah lebih baik negara hilang menteri yang tidak berkeupayaan berbanding hilang atlet yang banyak jasanya kepada negara.
Reaksi Muhamad Akmal itu susulan kontroversi melibatkan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan Majlis Sukan Negara (MSN) ketika ini.
Menurutnya, sehebat mana seseorang atlet itu sekali pun, namun sekiranya pengurusan sukan lembab dan tidak cekap, maka ia akan merugikan atlet itu sendiri.
“Jangan disebabkan kelembapan dan ketidakupayaan menteri untuk mengurus menjadikan kita kehilangan lebih ramai atlet yang berbakat akhirnya.
“Lebih baik kita hilang menteri sebegini daripada kita hilang atlet kita yg banyak jasanya pada negara,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Sebelum ini, Azizulhasni yang juga dikenali sebagai The Pocket Rocektman tampil dengan penjelasan sembilan muka surat bagi memperincikan pelbagai perkara berkaitan sukan berbasikal dan misi kelayakan Malaysia ke Sukan Olimpik LA28.
Bagaimanapun, MSN menepis dakwaan yang mengatakan badan induk itu tidak menghiraukan perancangan jaguh berbasikal Azizulhasni selain menganggap tuduhan tersebut tidak bertanggungjawab.
Hari ini pula, Azizulhasni dikhabarkan mendapat berita gembira apabila MSN telah menghantar surat rasmi mengesahkan beliau itu akan kembali mewakili Malaysia ke Sukan Olimpik LA 2028.
Media melaporkan, Menteri Belia dan Sukan juga mengarahkan agar kelayakan dan kesesuaian Azizulhasni dinilai semula bagi menjamin kesinambungan atlet negara ke temasya penting itu. – PentasDaily

