KUALA LUMPUR: Acer memperluaskan keluarga peranti gaming mudah alih Predator menerusi Predator Atlas 7, yang menggabungkan prestasi berkuasa dengan reka bentuk lebih kompak berbanding model terdahulu Atlas 8.
Diperkenalkan di Berlin, Jerman pada 2 September, Predator Atlas 7 direka untuk pemain yang mahukan pengalaman gaming berasaskan Windows 11 dalam peranti yang lebih mudah dibawa.
Model PA07-I51 itu ditawarkan dengan pilihan sehingga pemproses Intel Arc G3 Extreme serta grafik Intel Arc B390, manakala konfigurasi lain menggunakan Intel Arc G3 dan grafik Intel Arc B370.
Antara tarikan utama peranti ini ialah skrin 7 inci Full HD (1,920 x 1,080) dengan nisbah 16:9, Refresh Rate semula 120Hz dan sokongan Variable Refresh Rate (VRR).
Skrin IPS-level turut menawarkan kecerahan sehingga 500 nits, liputan warna sRGB 100 peratus serta perlindungan Corning Gorilla Glass Victus dan Gorilla Glass DXC bagi mengurangkan pantulan cahaya.
Acer turut memberi perhatian kepada aspek kuasa dan haba, dengan Predator Atlas 7 menawarkan bateri sehingga 80Wh.
Sistem penyejukannya menggunakan dua kipas, termasuk kipas logam Predator AeroBlade dengan 89 bilah setebal hanya 0.1 milimeter serta satu lagi kipas plastik.

Menurut Acer, reka bentuk AeroBlade berkenaan mampu meningkatkan aliran udara sehingga 10 peratus, manakala sistem Vortex Flow menggunakan saluran dalaman bersudut bagi membantu mengeluarkan udara panas dengan lebih berkesan ketika peranti digunakan di bawah beban tinggi.
Dari segi memori, Atlas 7 menyokong sehingga 24GB LPDDR5x pada kelajuan 7,467MT/s, manakala storan pula sehingga 1TB PCIe Gen4 NVMe M.2 SSD.
Menariknya, Acer turut menyediakan pilihan TMR joystick selain joystick jenis filem karbon, manakala butang L2/R2 menggunakan pencetus analog Hall Effect.
Peranti itu juga dilengkapi butang makro kiri dan kanan, PredatorSense, Xbox Game Bar serta butang kuasa dengan sensor cap jari.
Harga belum diumumkan untuk pasaran Malaysia
Buat masa ini, Acer belum mendedahkan harga rasmi serta tarikh jualan Predator Atlas 7 untuk Malaysia.
Menurut Acer, model berkenaan dijadualkan memasuki pasaran Amerika Utara mulai suku keempat 2026, manakala pasaran EMEA akan menerimanya mulai November 2026. Harga, spesifikasi dan ketersediaan sebenar bergantung kepada pasaran masing-masing.
Kehadiran Atlas 7 menjadikan persaingan dalam segmen gaming handheld berasaskan Windows semakin menarik, khususnya bagi pengguna yang mahukan prestasi tinggi tanpa perlu membawa komputer riba gaming yang jauh lebih besar.


