Foto: FB Aaron Ago Dagang

KUALA LUMPUR: Kementerian Perpaduan Negara menerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Sekretariat Rukun Negara akan mempertingkatkan pendedahan dan kesedaran masyarakat mengenai tatacara penggunaan serta pemasangan Jalur Gemilang yang betul.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, pendekatan itu bukan hanya bertujuan mengelakkan kesilapan daripada berulang, malah membina kefahaman dan menyemarakkan semangat patriotisme, khususnya dalam kalangan generasi muda.

“Jangan takut untuk mengibarkan Jalur Gemilang. Kibar dengan bangga. Namun, sentiasalah faham, peka dan semak sebelum mengibarkannya.

“Kesilapan yang tidak disengajakan sewajarnya menjadi ruang untuk kita mendidik dan meningkatkan kesedaran, manakala tindakan yang disengajakan untuk menghina atau memperlekehkan lambang negara perlu ditangani berdasarkan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Tambah Aaron, dalam era digital, prinsip yang sama perlu diterapkan dalam penggunaan Jalur Gemilang di media sosial serta kandungan yang dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI).

Ujarnya, teknologi AI semakin meluas digunakan, namun ia masih boleh menghasilkan imej yang tidak tepat termasuk kesilapan pada bilangan jalur, susunan warna, bulan dan bintang atau kedudukan bendera.

Justeru, tambah beliau, setiap pengguna mempunyai tanggungjawab untuk menyemak kandungan sebelum diterbitkan atau dikongsi.

“Teknologi harus membantu menyemarakkan patriotisme, bukan menjadi alasan untuk kita mengabaikan ketepatan lambang negara,” katanya.

Tambahnya, Jalur Gemilang tertakluk di bawah Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963.

Jelasnya, akta itu antara lain memperuntukkan perbuatan seperti mengibarkan bendera secara terbalik sebagai satu kesalahan menghina bendera dan boleh dikenakan denda hingga RM20,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Sehubungan itu, tegas beliau, penghormatan terhadap Jalur Gemilang adalah tanggungjawab bersama.

“Marilah kita menjadikannya sebagai simbol yang terus menyatukan rakyat Malaysia serta mendidik generasi seterusnya untuk mencintai, menghormati dan mempertahankan maruah negara.

“Kibarkan Jalur Gemilang dengan bangga, hormat dan penuh tanggungjawab,” katanya. – PentasDaily

By Editor3

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *