NEW YORK: Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan resolusi yang menggalakkan penggunaan peta dunia yang lebih tepat dalam menggambarkan saiz sebenar benua, khususnya Afrika.
Resolusi bertajuk “Correct the Map: Rebalancing Global Cartographic Representation and Promoting Equitable Representation of the World’s Regions, Particularly Africa” itu diluluskan pada 4 September lalu dengan 164 negara menyokong, satu menentang dan enam berkecuali.
Amerika Syarikat menjadi satu-satunya negara yang mengundi menentang resolusi berkenaan.
Inisiatif itu diketuai Togo dengan sokongan Kesatuan Afrika (AU), yang sejak sekian lama membangkitkan isu mengenai gambaran saiz Afrika dalam peta dunia yang lazim digunakan.
Resolusi berkenaan menggalakkan kerajaan, institusi pendidikan dan syarikat teknologi mempertimbangkan penggunaan unjuran peta yang dapat menggambarkan keluasan benua secara lebih tepat.
Antara yang menjadi perhatian ialah Equal Earth, satu unjuran peta yang mengekalkan perbandingan keluasan daratan dengan lebih hampir kepada saiz sebenar.
Ia berbeza dengan unjuran Mercator yang diperkenalkan (oleh Gerardus Mercator) pada abad ke-16 dan masih banyak digunakan dalam peta dunia.
Unjuran Mercator direka khususnya bagi tujuan pelayaran dan navigasi, namun menghasilkan herotan saiz apabila sesuatu kawasan semakin jauh dari garisan Khatulistiwa.
Keadaan itu menyebabkan kawasan berhampiran kutub kelihatan jauh lebih besar berbanding keluasan sebenarnya, manakala kawasan berhampiran Khatulistiwa kelihatan lebih kecil.
Sebagai contoh, Greenland sering kelihatan hampir sebesar Afrika dalam peta Mercator, sedangkan keluasan Afrika sebenarnya kira-kira 14 kali ganda berbanding Greenland.
Bagaimanapun, resolusi PBB itu tidak mengharamkan penggunaan peta Mercator dan tidak mewajibkan satu jenis unjuran tertentu untuk semua kegunaan.
PBB turut menegaskan bahawa resolusi berkenaan tertumpu kepada pendidikan, kesedaran dan literasi geografi serta tidak mengubah atau menyentuh isu kedaulatan, sempadan antarabangsa atau status wilayah sesebuah negara.
Walaupun resolusi Perhimpunan Agung PBB tidak bersifat mengikat, ia dijangka memberi dorongan kepada penggunaan peta yang lebih tepat dalam bahan pendidikan, penerbitan, institusi antarabangsa dan platform digital. – PentasDaily

