Kenyataan akhbar oleh Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Klana Petra Muhammad Faris Johari Meor Ngah.

SEREMBAN: Proklamasi menurunkan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang ditandatangani Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, 3 Ogos 2026 di Port Dickson, dalam Luak Sungei Ujong adalah tidak sah dan tidak boleh berkuatkuasa.

Perkara itu dimaklumkan Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Klana Petra Muhammad Faris Johari Meor Ngah dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurutnya, Sidang Dewan Keadilan dan Undang pada 31 Julai 2026 di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah memuktamadkan pengisytiharan 19 April 2026 itu tiada kesan undang-undang dan tidak boleh diguna pakai kerana tidak memenuhi syarat Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

“Tiga daripada Undang Empat yang cuba menurunkan DYMM Tuanku Muhriz langsung tiada kuasa sebagai Pembesar Memerintah bagi negeri lantaran telah lucut pesaka mengikut adat luak masing-masing.

“Ditegaskan, apa-apa jua hal berkaitan kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ketika ini hendakah ada sabda Kita selaku Imam Undang Yang Empat,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kenyataan bersama Undang Yang Empat termasuk Undang yang dipertikai pada 5 September lalu yang mendakwa Ismail telah menandatangani dokumen proklamasi tersebut.

Bagaimanapun, Ismail menerusi kenyataan media keesokan harinya menzahirkan sokongan taat setia kepada Tuanku Muhriz serta menegaskan tumpuannya kini adalah melaksanakan amanah sebagai Menteri Besar demi kepentingan rakyat dan negeri.

Semalam, kontroversi berhubung surat itu menjadi semakin meruncing apabila Undang Yang Empat termasuk Undang yang dipertikai menunjukkan dokumen yang didakwa proklamasi pemecatan Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Dokumen berkenaan dikatakan mempunyai tandatangan Ismail dan dikongsi kepada pemberita dalam satu sidang media di Galeri Diraja Tuanku Jaafar di sini.

Sidang media yang bermula sekitar jam 10.45 malam itu dihadiri oleh Datuk Maarof Mat Rashad, Abdul Rahim Yassin dan Undang Luak Johol, Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan, Datuk Muhammed Abdullah.

Bagaimanapun, Ismail malam tadi memilih untuk tidak mengulas mengenai dakwaan dokumen proklamasi pemecatan Tuanku Muhriz itu.

Ismail ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sebuah hotel di sini, hanya tersenyum sambil mengangkat tangan apabila ditanya mengenai perkara itu. – PentasDaily

By Editor3

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *