KUALA LUMPUR, 12 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencabar mana-mana pihak yang mahu menamatkan kerjasama dengan parti itu dalam Kerajaan Perpaduan supaya berani mengambil tindakan, termasuk membubarkan Parlimen atau membawa usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat.
Beliau menegaskan, UMNO tidak akan menerima sebarang tindakan yang dianggap mengetepikan kedudukan parti itu dalam pembentukan kerajaan, sambil mengingatkan bahawa kerjasama dalam pentadbiran tidak bermaksud UMNO menyerahkan masa depan, identiti dan prinsip perjuangannya.
“Kerjasama mentadbir negara tidak bermakna menyerahkan masa depan parti. Kerjasama bukan penyerahan. Saya ulang, kerjasama bukan penyerahan,” katanya ketika berucap pada sesi penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2026, di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata, jika terdapat pihak yang mahu UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan, terdapat dua pilihan yang boleh dilakukan iaitu mendapatkan mandat baharu daripada rakyat melalui pilihan raya umum atau mengeluarkan UMNO secara rasmi sebelum mengemukakan undi tidak percaya di Dewan Rakyat.
“Pilihan cuma ada dua… satu, dapatkan semula mandat rakyat umum. Kedua, keluarkan kami secara rasmi dan buat undi tidak percaya di Dewan Rakyat.
“Kalau berani, buatlah cepat. Kalau berani, bubarlah cepat,” katanya yang disambut laungan “bubar… bubar… bubar” oleh perwakilan di Dewan Merdeka.
Menurut Ahmad Zahid, kedudukan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan tidak boleh dipisahkan daripada asas sokongan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), apabila PH mempunyai 82 kerusi manakala UMNO dan BN 30 kerusi, menjadikan keseluruhan 112 kerusi.
Beliau berkata, walaupun kerajaan ketika ini mempunyai majoriti mudah yang lebih besar, kedudukan itu tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengetepikan UMNO.
“Jika kita di sini terkeluar, logiknya asas 112 kerusi pun telah tiada. Jadi mandat baharu mesti diperoleh,” katanya.
Ahmad Zahid turut menegaskan UMNO akan terus mempertahankan identitinya dalam Kerajaan Perpaduan dengan pendekatan berunding tanpa menggadaikan prinsip serta mencari titik persamaan sambil menghormati perbezaan. – PentasDaily

