KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) yang dijadualkan pada minggu hadapan ditangguhkan susulan jerebu yang masih melanda negara.
Kementerian Pendidikan (KPM) berkata penangguhan itu mengambil kira kebimbangan ibu bapa dan penjaga terhadap kesihatan anak-anak, khususnya mereka yang perlu hadir ke sekolah untuk menduduki peperiksaan tersebut.
“Memandangkan UASA merupakan pentaksiran kendalian sekolah, pihak sekolah diberikan ruang untuk menyusun semula jadual pelaksanaannya.
“Jadual baharu akan dimaklumkan kepada ibu bapa dan penjaga,” katanya menerusi kenyataan malam tadi.
Menurut KPM, pihaknya memahami dilema yang dihadapi ibu bapa terutama apabila bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di beberapa negeri masih berada pada tahap tidak sihat.
“Mereka mahu melindungi kesihatan anak-anak, tetapi pada masa yang sama bimbang sekiranya ketidakhadiran ke sekolah menyebabkan anak-anak terlepas pentaksiran.
“KPM akan terus mengutamakan kesihatan dan keselamatan murid, di samping memastikan pentaksiran mereka dapat dilaksanakan dengan teratur,” jelasnya.
Sementara itu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek dalam hantaran di Facebook berkata KPM memutuskan penangguhan pelaksanaan UASA yang dijadualkan minggu depan selepas mengambil kira situasi jerebu semasa.
“Pihak sekolah akan menyusun semula jadual UASA dan memaklumkannya kepada ibu bapa. Kesihatan anak-anak tetap menjadi keutamaan kita,” ujarnya.
