Rusuhan disertai puluhan ribu pelajar di Perancis.

AYER KEROH – Rakyat Malaysia yang berhasrat ke Itali dan Perancis dinasihatkan supaya menjauhi lokasi demonstrasi pelajar bagi mengelakkan risiko keselamatan dan kemungkinan berdepan tindakan undang-undang pihak berkuasa tempatan.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata setakat ini tiada larangan perjalanan dikeluarkan bagi kedua-dua negara berkenaan.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan rakyat Malaysia supaya sentiasa berwaspada dan mengelakkan kawasan yang menjadi tumpuan demonstrasi.

Beliau berkata, demonstrasi berkenaan lazimnya tertumpu di laluan tertentu dan tidak membabitkan keseluruhan bandar Paris atau Rom.

“Tiada larangan perjalanan setakat ini, tetapi kita nasihatkan supaya jangan mendekati tempat yang menjadi lokasi demonstrasi pelajar setiap hari.

“Pelancong juga perlu menyemak keadaan semasa di destinasi masing-masing dan mengelakkan kawasan yang dikenal pasti sebagai laluan utama perhimpunan,” katanya selepas menutup Persidangan Agung Kebangsaan Persatuan Solidariti Nasional (PerSoNa) Ke-10, di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan puluhan ribu pelajar di Itali menyertai demonstrasi bagi menuntut penambahbaikan keadaan sekolah mereka, susulan tindakan pelajar di Perancis yang mengadakan protes sejak akhir September bagi membantah keadaan sistem pendidikan negara itu.

Walaupun demonstrasi berlangsung secara aman di kebanyakan bandar, protes di Turin, barat laut Itali, bertukar ganas apabila puluhan penunjuk perasaan membaling batu, botol kaca dan suar ke arah pasukan keselamatan, menurut saksi.

Mohamad berkata, rakyat Malaysia turut diingatkan supaya tidak menyertai demonstrasi berkenaan bagi mengelakkan risiko ditahan pihak berkuasa.

Beliau menegaskan bahawa rakyat Malaysia yang berada di luar negara perlu menghormati undang-undang tempatan dan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan keselamatan diri.

“Mereka disaran mengikuti perkembangan semasa serta mematuhi arahan pihak berkuasa sepanjang berada di Itali dan Perancis,” katanya. – BuletinTV3.

By Editor4

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *