Tagkap layar video kejadian sebuah feri penumpang berlanggar dengan kapal di Butterworth malam tadi.

BUTTERWORTH: Seramai 21 orang dilaporkan cedera apabila sebuah Feri Teluk Bahang berlanggar dengan kapal MV Mekar Jaya dalam had kawasan Pelabuhan Pulau Pinang, dalam kejadian kira-kira pukul 8.40 malam tadi.

Berdasarkan maklumat awal, MV Mekar Jaya dilaporkan sedang bergerak dari Dermaga Air Dalam Butterworth (DADB) menuju ke Terminal Kapal Persiaran Jeti Swettenham (SPCT) ketika ia berlanggar dengan feri terbabit yang sedang dalam perjalanan menuju ke Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH).

Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Yeoh Soon Hin berkata, semua penumpang yang cedera dalam kejadian itu dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, operasi perkhidmatan feri juga berjalan seperti biasa dan tidak terjejas susulan insiden itu.

Tambah beliau, SPPP bersama Penang Port Sdn Bhd (PPSB) akan mengambil segala langkah yang sewajarnya bagi memastikan tindakan susulan yang diperlukan berkait penumpang terbabit, dapat dilaksanakan.

“Keutamaan juga akan diberi bagi memastikan keselamatan dan kelancaran operasi pelabuhan sentiasa terjamin,” katanya kepada pemberita malam tadi.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata pihaknya, menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 9.58 malam.

Katanya, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth kemudiannya dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Berdasarkan maklumat awal, seramai 92 mangsa terbabit insiden itu dengan enam mengalami kecederaan parah.

“Mangsa yang cedera telah dibawa ke hospital dengan menggunakan ambulans Pelabuhan Pulau Pinang serta dari agensi lain, manakala penumpang lain telah bersurai selepas kejadian itu.,” katanya. – PentasDaily

By Editor3

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *