KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta pihak berwajib menjalankan siasatan dengan teliti bagi mengenal pasti punca nahas ngeri yang meragut empat nyawa di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), malam semalam.
Dalam masa sama, Perdana Menteri turut mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya berhati-hati, mematuhi peraturan dan mengutamakan keselamatan diri serta keluarga setiap kali berada di jalan raya.
Terdahulu, beliau merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa tragedi itu, termasuk sebuah keluarga yang sedang dalam perjalanan pulang selepas menyambut Hari Kebangsaan.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh mereka dan mengurniakan kekuatan serta ketabahan kepada keluarga yang ditinggalkan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya malam ini.
Dalam kejadian di Kilometer (KM) 110.4 Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), arah Lanchang menghala Kuantan itu, empat termasuk tiga sekeluarga maut selepas terbabit dalam kemalangan 11 kenderaan.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, tiga beranak yang maut ialah suami isteri, Muhammad Nazatul Nazmi, 32, dan Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan, 32 serta anak lelaki berusia empat tahun yang menaiki kereta Proton S70.
Katanya, seorang lagi ialah penumpang kereta Honda CRV, Seow Beng Wain, 55 dari Shah Alam, Selangor yang semua mereka meninggal dunia di tempat kejadian.
Kemalangan itu membabitkan sebuah lori tanker; sebuah bas membawa 30 penumpang, tiga buah MPV; sebuah 4X4 dan lima buah kereta dengan keseluruhan 61 mangsa terlibat. – PentasDaily

