KUALA LUMPUR: Kementerian Luar Negeri (KLN) sedang mendapatkan pengesahan pihak berkuasa Nepal berhubung penemuan mayat seorang warga Nepal dipercayai mempunyai kaitan dengan rombongan disertai rakyat Malaysia dalam tragedi banjir yang melanda sempadan Nepal-Tibet minggu lalu.
Kementerian yang turut dikenali Wisma Putra itu berkata, pihaknya mengambil maklum laporan tular mengenai seorang individu dilaporkan mempunyai kaitan dengan satu kumpulan yang terjejas akibat bencana banjir kilat di Nepal.
Tambahnya, pihaknya akan terus mengutamakan penyaluran maklumat yang telah disahkan mengenai kes individu secara langsung kepada waris.
“Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu sedang mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa berkaitan di Nepal. KLN tidak akan membuat sebarang spekulasi mengenai laporan tersebut sementara proses pengesahan masih berjalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Wisma Putra memohon pihak media memberi ruang kepada proses itu dan menghormati privasi keluarga yang terlibat.
Jelasnya, sebarang perkembangan yang sesuai untuk dimaklumkan kepada umum akan disampaikan setelah maklumat berkenaan disahkan.
Sebelum ini, satu mayat dipercayai warga Nepal yang didakwa daripada rombongan Leaf Holidays yang turut disertai 23 rakyat Malaysia dilaporkan ditemukan di kawasan Trishuli pada Ahad.
Mayat berkenaan ditemukan kira-kira 75 hingga 80 kilometer dari lokasi terakhir kumpulan itu diketahui. – PentasDaily

