Brad Pitt Tuntut RM164 Juta Daripada Angelina Jolie Dalam Pertikaian Ladang Wain
LOS ANGELES – Pertikaian antara dua bintang Hollywood terkenal, Brad Pitt dan Angelina Jolie, kembali menjadi tumpuan selepas Pitt dilaporkan menuntut ganti rugi sebanyak AS$35 juta (kira-kira RM164 juta) daripada bekas isterinya.
Tuntutan itu berkait dengan ladang wain mewah mereka, Château Miraval di Perancis, simbol cinta pasangan itu yang kini menjadi lambang perpisahan paling mahal di Hollywood.
Menurut laporan Us Weekly, pasukan guaman Pitt telah memfailkan dokumen mahkamah pada 29 Oktober lalu, mendakwa Jolie melanggar perjanjian bersama apabila menjual sahamnya kepada syarikat wain antarabangsa, Tenute del Mondo, milik kumpulan Stoli, pada 2021 tanpa kebenaran beliau.
Pelakon Fight Club itu mendakwa tindakan tersebut menyebabkan kerugian besar terhadap kepentingan dan reputasi perniagaan Miraval yang dibangunkan bersama. Pitt kini menuntut ganti rugi kewangan yang dianggarkan mencecah RM164 juta.


Bagi peminat, kisah ini bukan sekadar soal undang-undang atau perniagaan, ia adalah sambungan kepada drama panjang pasangan yang pernah digelar “Brangelina”, yang hubungan mereka pernah menjadi inspirasi dunia glamor Hollywood.
Sehingga kini, kedua-dua pihak masih memilih untuk berdiam diri tanpa sebarang kenyataan rasmi. Namun apa yang pasti, pertikaian Miraval ini menjadikan perceraian mereka antara yang paling berlarutan dan penuh intrik dalam sejarah selebriti dunia.
Sebagai imbasan, Pitt dan Jolie membeli Château Miraval pada 2011 dengan nilai sekitar AS$60 juta (RM284 juta) dan menjadikannya salah satu jenama wain paling eksklusif di dunia malah tempat itu pernah menjadi lokasi perkahwinan romantik mereka empat tahun kemudian.
Kini, ladang yang pernah menjadi saksi cinta abadi itu berubah menjadi medan pertempuran hukum dan emosi, mencerminkan bagaimana kisah cinta paling indah pun boleh berubah getir di hujungnya.