Kopi Serbuk Lipas Curi Perhatian Di China, Rupanya Ada Peminat Tersendiri
1 min read

Kopi Serbuk Lipas Curi Perhatian Di China, Rupanya Ada Peminat Tersendiri

KUALA LUMPUR – Sebuah kafe di sebuah muzium bertema serangga di China mencetuskan sensasi luar biasa apabila memperkenalkan kopi serbuk lipas, minuman yang kini menjadi buah mulut warganet dan pengunjung kerana kelihatan seperti diambil terus dari babak filem seram.

Menurut laporan South China Morning Post, minuman itu bukan sekadar mencampurkan serbuk lipas, malah turut diperkaya dengan ulat kuning kering, larva yang lazim digunakan dalam hidangan berasaskan serangga, kombinasi yang membuatkan ada pengunjung teruja, manakala sebahagian lagi menahan loya.

Beberapa pelanggan yang berani mencuba menggambarkan rasanya mempunyai aroma hangus dan sedikit masam, namun tetap “memikat” bagi mereka yang memburu pengalaman unik dan luar kebiasaan.

Dijual pada harga 45 yuan (sekitar RM26.60), kopi serangga itu sebenarnya sudah berada dalam menu sejak akhir Jun lalu, namun hanya mula menjadi tular selepas video pengunjung yang mencubanya menarik perhatian ramai.

Pekerja kafe berkenaan berkata, minuman eksotik itu dihasilkan selaras dengan konsep muzium tersebut yang memfokuskan dunia serangga, sekali gus menawarkan pengalaman yang “lebih menyeluruh” kepada mereka yang sanggup mencabar selera sendiri.

Tidak terhenti di situ, kafe itu turut melancarkan dua lagi minuman pelik — jus pencernaan periuk kera dan minuman semut edisi khas Halloween, masing-masing menggunakan bahan yang dibekalkan oleh pembekal herba perubatan tradisional Cina (TCM). Pembekal itu turut mendakwa serbuk lipas yang digunakan mampu membantu melancarkan peredaran darah.

Menurut pekerja terbabit, minuman semut mempunyai rasa masam yang tajam, manakala minuman periuk kera pula dikatakan hampir menyamai kopi biasa.

Menariknya, walaupun ada pengunjung khususnya ibu bapa bersama anak yang kelihatan tidak selesa dengan idea menikmati kopi berasaskan lipas, kafe itu tetap berjaya menjual lebih 10 cawan sehari, menjadikan minuman pelik ini satu fenomena baharu di kalangan pencinta pengalaman ekstrem.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *