Langkah terdesak ‘cemarkan’ imej persatuan kriket
KUALA LUMPUR – Segelintir pihak yang tewas dalam pemilihan Persatuan Kriket Malaysia (MCA) dipercayai terus menggerakkan kempen bagi memburukkan kepimpinan baharu badan induk itu menerusi penerbitan artikel di sebuah portal berita menjelang prosiding mahkamah yang melibatkan persatuan berkenaan.
Menurut sumber dalam Jawatankuasa MCA yang enggan dikenali, pihaknya mengesan satu corak yang konsisten apabila artikel-artikel yang mempertikaikan pengurusan dan pentadbiran persatuan diterbitkan beberapa hari sebelum sesuatu prosiding mahkamah berlangsung.
Beliau mendakwa tindakan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan individu tertentu yang tewas dalam pemilihan persatuan dan masih mempunyai kepentingan tertentu dalam usaha melemahkan kepimpinan sedia ada.
“Setiap kali menjelang prosiding mahkamah, akan muncul artikel-artikel yang menyerang MCA dan menimbulkan persepsi negatif terhadap kepimpinan persatuan.
“Keadaan ini berlaku berulang kali sehingga menimbulkan persoalan sama ada ia merupakan usaha terancang untuk mempengaruhi pandangan umum dan memberi tekanan kepada pentadbiran semasa,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata, pihaknya mengambil contoh prosiding mahkamah yang berlangsung pada 24 November 2025 apabila beberapa artikel diterbitkan secara berterusan sehingga 23 Mac lalu.
Perkara sama turut berlaku menjelang prosiding pada 3 Februari 2026 apabila beberapa artikel disiarkan beberapa hari sebelum tarikh perbicaraan bagi mencetuskan polemik berkaitan persatuan.
Menurutnya, pihak yang terlibat dipercayai menggunakan sebuah portal berita tertentu sebagai medium untuk menyerang MCA, selain menyiarkan pelbagai dakwaan yang dilihat mempersoalkan kredibiliti kepimpinan baharu persatuan.
“Kita mengetahui siapa dalangnya, apa agenda mereka dan siapa yang menyalurkan maklumat tersebut.
“Apa yang berlaku bukan lagi kritikan biasa, sebaliknya dilihat sebagai satu usaha berterusan untuk menjejaskan imej persatuan yang sedang berusaha memajukan sukan kriket negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut mendakwa terdapat beberapa pemimpin persatuan negeri yang dipercayai memainkan peranan menyalurkan maklumat dalaman kepada bekas pemimpin MCA bagi menjayakan agenda berkenaan.
Katanya, tindakan tersebut bukan sahaja menjejaskan reputasi persatuan, malah boleh mengganggu usaha pembangunan kriket negara yang sedang menunjukkan perkembangan positif di peringkat antarabangsa.
“Apabila tiada prosiding mahkamah, artikel-artikel ini juga tidak muncul. Sebab itu kita melihat terdapat kaitan yang jelas antara penerbitan artikel dan tarikh prosiding.
“Bagaimanapun, MCA tidak akan goyah dengan taktik seperti ini dan akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan sukan kriket serta memperkukuhkan pentadbiran persatuan,” katanya.
Prosiding mahkamah yang dimaksudkan melibatkan pertikaian antara MCA dengan bekas barisan pemimpin persatuan dan kes berkenaan masih dalam proses perundangan.