Mengenang Pemergian Pemuda Berpekerti Mulia Mangsa Keganasan

Pada usia 22 tahun, kebanyakan anak muda sedang membina cita-cita. Ada yang baru melangkah ke alam pekerjaan, ada yang masih mengejar pengajian, manakala sebahagian lagi sedang merancang masa depan bersama keluarga.
Namun bagi seorang pemuda dari Johor ini, segala impian itu terhenti dalam sekelip mata.
Pada malam 21 Mei lalu, dia keluar rumah seperti kebiasaannya. Tiada siapa dalam kalangan ahli keluarga menyangka langkah yang kelihatan biasa itu akhirnya menjadi perjalanan terakhir sebelum nyawanya diragut dalam satu kejadian dipercayai dipukul sekumpulan individu di hadapan sebuah kedai makan di Pekan Nanas, Pontian.
Lebih memilukan, mangsa bukanlah seorang yang dikenali gemar bergaduh atau mencari masalah. Sejak kecil, dia hidup dengan penyakit jantung kongenital, namun kekurangan itu tidak pernah memadamkan sifat lembut, penyabar dan kasih sayangnya terhadap keluarga.
Sepupunya, K. Shantiya, 26, berkata, sehingga hari ini keluarganya masih bergelut menerima hakikat pemergian mengejut anak muda tersebut.
“Sejak kecil dia seorang yang baik hati dan sangat sederhana. Dia tidak pernah mencari masalah atau sengaja mencetuskan pergaduhan.
“Semua yang mengenalinya tahu dia sentiasa murah dengan senyuman. Kalau diperlakukan tidak adil sekali pun, dia lebih rela berdiam diri daripada membalas,” katanya ketika ditemui.
Menurut Shantiya, mangsa pernah menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) selepas disahkan menghidap penyakit jantung kongenital sejak kecil.
Selepas pembedahan itu, dia perlu menjalani pemeriksaan berkala setiap tahun di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru bagi memantau tahap kesihatannya.
Keadaan fizikal yang tidak mengizinkannya melakukan kerja berat menyebabkan kehidupannya agak berbeza berbanding rakan-rakan seusia.
Namun, kata Shantiya, mangsa tidak pernah merungut mengenai takdir yang dilaluinya.
Sebaliknya, hampir seluruh hidupnya dihabiskan bersama keluarga serta mendalami minat bermain alat muzik tradisional India, Urumi.
“Bersama keluarga dan bermain Urumi, itulah kebahagiaan yang paling dia hargai,” katanya.
Perjalanan terakhir
Menurut Shantiya, keluarga langsung tidak mengetahui mangsa pergi ke Pontian pada malam kejadian kerana kebiasaannya setiap kali keluar rumah, sama ada dia sendiri atau rakannya akan memaklumkan destinasi mereka.
“Dia jarang pergi sejauh itu seorang diri. Kami sangka dia akan pulang seperti biasa.
“Tidak pernah terlintas bahawa itulah kali terakhir kami melihatnya hidup,” katanya dalam nada sebak.
Bagi keluarganya, tragedi tersebut bukan sekadar meragut seorang anak muda, malah memusnahkan harapan yang dibina selama bertahun-tahun.
“Kami membesarkannya sejak kecil. Seluruh keluarga amat menyayanginya. Sampai hari ini kami masih tidak percaya dia benar-benar sudah tiada,” katanya.
Impian yang tidak sempat menjadi kenyataan
Bagi ibu saudara mangsa yang menjaganya sejak kecil, K. Devi, 52, kehilangan itu bukan sekadar kehilangan seorang anak saudara, malah seorang insan yang sentiasa menjadi pendamai dalam keluarga.
“Kalau ada orang bergaduh di rumah, dialah orang pertama yang akan menyuruh semua bertenang.
“Dia paling tidak suka melihat pergaduhan, tetapi akhirnya dia sendiri menjadi mangsa keganasan,” katanya.
Menurut Devi, sejak di bangku sekolah rendah lagi, mangsa sudah mempelajari permainan Urumi dan terus mengekalkan minat tersebut sehingga akhir hayat.
Di sebalik keadaan kesihatan yang tidak pernah benar-benar pulih, dia masih menyimpan pelbagai impian yang sederhana.
Dia mahu memiliki sebuah kereta sendiri.
Dia bercita-cita membawa seluruh ahli keluarganya bercuti ke Indonesia.
Dia mahu membesarkan rumah keluarga supaya lebih selesa didiami.
Malah, dia pernah menyatakan hasrat membuka pusat mencuci kereta atau mengusahakan sebuah restoran.
Bagi kebanyakan orang, impian-impian itu mungkin kelihatan biasa. Namun kini, semuanya tinggal kenangan.
Keselamatan awam bukan isu bermusim
Dalam perkembangan kes itu, polis telah menahan tujuh suspek berusia antara 18 hingga 28 tahun sebelum mereka didakwa di mahkamah.
Keluarga mangsa merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia atas tindakan pantas menjalankan siasatan sehingga kes tersebut dibawa ke muka pengadilan.
Namun bagi mereka, persoalan yang lebih besar bukan sekadar mengenai hukuman terhadap pesalah.
Sebaliknya, bagaimana tragedi seumpama itu dapat dicegah daripada terus berulang.
Menjelang Pilihan Raya Negeri Johor, keluarga berharap semua parti yang bertanding meletakkan keselamatan awam, pembanterasan jenayah kekerasan dan perlindungan nyawa rakyat sebagai agenda utama pentadbiran negeri.
Menurut Shantiya, keputusan keluarga tampil berkongsi kisah itu bukan semata-mata untuk menuntut keadilan buat mangsa.
Sebaliknya, mereka berharap tragedi tersebut menjadi peringatan bahawa isu keselamatan tidak boleh dipandang ringan.
“Hari ini yang pergi ialah ahli keluarga kami.
“Kami hanya berharap, esok tidak akan ada lagi mana-mana keluarga yang terpaksa melalui kesedihan yang sama… hanya kerana seseorang keluar rumah seperti biasa, tetapi tidak pernah pulang dengan selamat.”
Barangkali itulah hakikat paling menyedihkan dalam tragedi ini. Ada pemergian yang berlaku tanpa sempat mengucapkan selamat tinggal.
Dan ada keluarga yang akan terus menunggu kepulangan insan tersayang, walaupun mereka tahu penantian itu tidak akan pernah berakhir.