Arkitek Master Frank Gehry meninggal dunia pada usia 96 tahun
2 mins read

Arkitek Master Frank Gehry meninggal dunia pada usia 96 tahun

LOS ANGELES – Arkitek kelahiran Kanada yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Frank Gehry – figura ikonik dunia seni bina moden yang terkenal dengan rekaan berani dan eksperimental seperti Muzium Guggenheim Bilbao serta Walt Disney Concert Hall meninggal dunia semalam pada usia 96 tahun.

Pemergian Gehry disahkan wakilnya, Meaghan Lloyd, yang memaklumkan kepada AFP bahawa tokoh itu menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Santa Monica selepas mengalami masalah pernafasan singkat.

Gehry, antara nama terbesar dalam kelompok ‘starchitect’ yang turut merangkumi Renzo Piano, Rem Koolhaas, Norman Foster dan Zaha Hadid, sering diraikan kerana keberaniannya memecahkan konvensi seni bina.

Namun, beliau sendiri kurang senang dilabel sedemikian, menegaskan bahawa seni bina tetap kembali kepada dua kategori asas: “Ada yang membina dengan baik, ada yang tidak,” katanya dalam satu wawancara pada 2009.

Sentuhan seninya terserlah melalui struktur kompleks dan ikonik – termasuk ‘layar kaca’ Fondation Louis Vuitton di Paris – yang menjadikan beliau antara arkitek paling berpengaruh dalam mempopularkan seni bina kontemporari sehingga pernah dijadikan watak dalam siri animasi The Simpsons.

Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, menyifatkan Gehry sebagai tokoh berwawasan yang meninggalkan legasi tidak dapat disangkal.

Dilahirkan sebagai Frank Owen Goldberg di Toronto pada 28 Februari 1929 dalam keluarga Yahudi, beliau berpindah ke Amerika Syarikat pada akhir 1940-an sebelum menukar nama kepada Gehry bagi mengelak sikap antisemitisme.

Beliau menamatkan pengajian dalam bidang seni bina di University of Southern California pada 1954, menyertai tentera AS, kemudian melanjutkan pengajian dalam perancangan bandar di Harvard University namun tidak menghabiskannya.

Kerjayanya bermula di Los Angeles bersama Victor Gruen, tokoh penting dalam reka bentuk pusat beli-belah, sebelum berhijrah ke Paris pada 1961 untuk bekerja dengan Andrew Remondet. Setahun kemudian beliau kembali membuka firma sendiri di Los Angeles.

Era 1970-an dan 1980-an menjadi titik lonjakan karya-karya paling radikal beliau, khususnya di California, dengan gaya dekontruksi yang sering dianggap sukar dikategorikan.

Banyak bangunan rekaan Gehry yang tampak seperti kepingan logam berkedut hanya dapat direalisasikan menerusi penggunaan teknologi reka bentuk komputer, yang ketika itu dianggap inovasi berani.

Antara karya perintisnya ialah pengubahsuaian rumahnya sendiri di Santa Monica pada 1978, dengan penggunaan logam beralun yang membaluti struktur asal rumah era 1920-an tersebut.

Sepanjang kerjayanya, Gehry menerima pelbagai pengiktirafan tertinggi, termasuk anugerah berprestij Pritzker Prize pada 1989 – penghormatan tertinggi dalam dunia seni bina.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *