Tourism Malaysia Rangkul Dua Anugerah Antarabangsa
DUBAI – Kecemerlangan Malaysia di pentas global sekali lagi terserlah apabila Tourism Malaysia merangkul dua anugerah utama iaitu ‘Best National Tourism Organisation (NTO) Southeast Asia’ dan ‘Best Destination Marketing Initiatives’ pada Anugerah Pelancongan Arab ke-8 yang berlangsung di Embassy Suites by Hilton Dubai Business Bay.
Pengiktirafan itu mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancong dari Timur Tengah, selain membuktikan keberkesanan strategi promosi dan pemasaran yang digerakkan menjelang Visit Malaysia 2026 (VM2026).
Anugerah berprestij tersebut diterima oleh Pengarah Tourism Malaysia Dubai, Mohd Faharuddin Hatmin, mewakili agensi berkenaan. Lebih 100 wakil utama daripada industri pelancongan, hospitaliti dan media serantau hadir memeriahkan majlis berkenaan.
Menurut Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy, kejayaan itu mencerminkan kesungguhan agensi dalam mempromosikan keunikan produk pelancongan negara.
“Pengiktirafan ini menjadi pemangkin untuk kami meningkatkan lagi libat urus pasaran, memperkukuh kerjasama strategik dan memperluas rangkaian penerbangan menjelang Visit Malaysia 2026, demi memastikan pertumbuhan yang mampan dan berimpak tinggi,” katanya.
Malaysia mencatat 28.2 juta ketibaan pelancong antarabangsa dari Januari hingga Ogos 2025, meningkat 14.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Pertumbuhan positif ini didorong daya tarikan pelancongan Malaysia yang merangkumi bandar-bandar dinamik, pulau peranginan, warisan budaya, dan kepelbagaian gastronomi.
Seiring persiapan menuju VM2026 yang menyasarkan 47 juta pelawat antarabangsa, usaha menambah baik aksesibiliti udara turut dipergiat.

Antara inisiatif terbaharu ialah penerbangan harian Batik Air dari Dubai ke Kuala Lumpur bermula 1 Januari 2026, melengkapi rangkaian sedia ada seperti Emirates, Etihad, Flydubai, Air Arabia dan lain-lain.