TransNusa mulakan penerbangan sulung ke Pulau Pinang
2 mins read

TransNusa mulakan penerbangan sulung ke Pulau Pinang

PULAU PINANG – Tourism Malaysia meraikan ketibaan penerbangan sulung TransNusa dari Jakarta ke Pulau Pinang, menandakan pembukaan satu lagi gerbang udara penting yang sekaligus mengukuhkan rangkaian udara dan merancakkan kemasukan pelancong dari Indonesia ke negara ini.

Perkhidmatan baharu Jakarta–Pulau Pinang itu beroperasi setiap Isnin, Rabu dan Jumaat, sebelum dijadualkan beralih kepada penerbangan harian bermula Disember 2025.

Pesawat Airbus A320 berkapasiti 174 tempat duduk itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno–Hatta pada pukul 5 pagi dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang sekitar pukul 8.30 pagi.

Penerbangan pulang PEN–CGK berlepas pada pukul 9.30 pagi dengan tempoh perjalanan kira-kira 1 jam 25 minit.

Timbalan Ketua Pengarah (Promosi II) Tourism Malaysia, Lee Thai Hung, berkata kemasukan TransNusa ke Pulau Pinang merupakan perkembangan penting dalam menambah pilihan laluan udara kepada pelancong asing, termasuk bagi tujuan percutian, perubatan, urusan perniagaan dan persidangan (MICE).

“Laluan ini membuka lebih banyak ruang kunjungan selain mendekatkan warisan kaya Pulau Pinang dengan Jakarta, ibu kota Indonesia. Dengan kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026) yang bakal bermula dalam beberapa minggu sahaja lagi, laluan ini dijangka memainkan peranan besar dalam melancarkan pergerakan pelancong antara kedua-dua negara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TransNusa, Dato’ Bernard Francis, menyifatkan laluan Jakarta–Pulau Pinang sebagai strategi penting dalam peluasan rangkaian syarikat berkenaan.

“Laluan ini sejajar dengan tumpuan kami untuk beroperasi di hab-hab utama yang menawarkan sambungan luas kepada penumpang.

“Ia turut direalisasikan menerusi program insentif jangka panjang Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) yang tersusun dengan baik, satu kelebihan yang tidak dimiliki kebanyakan lapangan terbang sekunder lain. Dengan sokongan Tourism Malaysia dan PIA, laluan ini dapat dilancarkan dalam tempoh kurang enam bulan,” katanya.

Indonesia kekal sebagai pasaran pelancongan terpenting bagi Malaysia. Pada 2024, lebih 4.15 juta pelawat Indonesia direkodkan dengan peningkatan 19 peratus berbanding tahun sebelumnya. Dari Januari hingga Ogos 2025 sahaja, 2.92 juta pelancong Indonesia tiba di Malaysia, mencerminkan minat yang terus meningkat terhadap destinasi tempatan.

Seiring kempen VM2026, TransNusa dan Tourism Malaysia turut memperkukuh kerjasama bagi merangsang perjalanan dua hala. Ini termasuk membawa lebih 30 ejen pelancongan dari Jakarta menyertai persidangan VM2026 bagi mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk percutian, budaya dan pelancongan perubatan.

Sokongan turut diterima daripada Penang Global Tourism (PGT) dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), melengkapkan usaha memperkasakan landskap pelancongan Pulau Pinang.

Pelancaran laluan Jakarta–Pulau Pinang ini mencerminkan komitmen bersama Malaysia dan Indonesia dalam memperkukuh hubungan dua hala, meningkatkan konektiviti serantau serta memajukan sektor pelancongan dan ekonomi. Tourism Malaysia komited terus bekerjasama dengan rakan strategik demi memastikan manfaat jangka panjang kepada industri pelancongan negara menjelang VM2026.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *