KAJANG: Seorang pejalan kaki wanita berusia 47 tahun maut dalam kejadian kemalangan membabitkan sebuah kereta yang terbabas dan memasuki ruang makan medan selera di Bandar Mahkota Cheras, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 1.15 pagi tadi, selepas pemandu kereta berusia 35 tahun dipercayai tertekan pedal minyak.
Menurutnya, ketika kereta itu berpusing untuk keluar dari medan selera tersebut, mangsa dikatakan meluru ke arah kenderaan terbabit dipercayai untuk menghalang atau menghentikannya.
“Namun, kereta itu telah terlanggar sebatang tiang besi mengakibatkannya terbalik lalu terkena pada kepala mangsa.
“Mangsa kemudian telah disahkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala oleh petugas kesihatan yang tiba di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Naazron, pemandu kereta terlibat telah ditahan dan hasil semakan mendapati lelaki berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod lampau.
Jelasnya, pemandu itu yang juga cedera telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan serta mengambilan sampel dan masih menerima rawatan sehingga kini.
Ujar beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
Jika disabitkan kesalahan, katanya, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun, denda maksimum RM50,000 serta hilang kelayakan memegang lesen memandu bagi tempoh tidak kurang daripada lima tahun.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta menghubungi balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Kajang, Insp. Mohd Raziman Rasid di talian 019-4565502 bagi membantu siasatan,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati, mengamalkan pemanduan berhemah serta mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan semua pihak. – PentasDaily

