Foto: FB Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan Pas juga menggunakan kaedah menang dulu baru prinsip (victory first, principle second) dalam amalan berpolitik.

Sebagai contoh, katanya, Pas pernah berkawan dengan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR), namun kini menjadikan DAP sebagai kambing hitam untuk memainkan sentimen Melayu.

“Sedangkan apa beza DAP dengan MCA. Apa bukti MCA lebih moderate berbanding DAP?

“Tidak timbul halal haram dalam mencari kawan politik. Prioriti sekarang ialah menang dulu, prinsip kemudian,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Terdahulu, Mohd Puad yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor menyifatkan kaedah menang pilihan raya lebih penting daripada prinsip itu semakin diterima oleh parti politik dan rakyat.

Sehubungan itu, kata beliau, sekiranya ada orang politik mendakwa mempunyai prinsip, perkara itu disifatkan pembohongan dan mengarut, sebaliknya ia hanyalah tanda pemimpin berkenaan sebenarnya tidak berprinsip.

“Ada orang Melayu tidak menyokong UMNO kerana isu UMDAP. PAS pun sama. Guna isu UMDAP untuk serang UMNO.

“Tetapi akhirnya PAS sanggup berbaik semula dengan UMNO walau pun UMNO masih dalam kerajaan perpaduan di peringkat pusat,” tulisnya lagi.

Sehubungan itu, tambah Mohd Puad, persaingan parti-parti politik kini adalah untuk mencari rakan strategik yang boleh memenangi kerusi pada pilihan raya.

“Parti Bersama atau MUDA akan mati tanpa rakan gabungan. Masalahnya ialah gabungan mana pilihan mereka?” soalnya. – PentasDaily

By Editor3

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *