KUALA LUMPUR: Pas melahirkan kebimbangan serius terhadap kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam temu bual dengan Al Jazeera berkait isu melibatkan China dan Taiwan, terutama kemungkinan penggunaan kekuatan ketenteraan dalam penyuraian konflik tersebut.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Pas beranggapan penegasan Anwar berhubung pendirian Malaysia mengenai dasar Satu China (One China) bukanlah masalah.
Namun, katanya, kenyataan bahawa Anwar melihat Taiwan sebagai sebahagian daripada China “noktah” dan perbandingan yang dibuat dengan situasi di Malaysia dengan penggunaan kekuatan ketenteraan sebagai pilihan bagi menghalang mana-mana negeri yang mahu “menarik diri” daripada persekutuan telah meletakkan negara di kedudukan diplomatik yang sukar.
Ujarnya, Pas percaya Malaysia perlu membezakan antara dasar diplomatiknya yang telah mantap dengan pendirian memihak tentang bagaimana konflik China-Taiwan harus diselesaikan.
Jelasnya, dasar Satu China tidak harus membenarkan tindakan unilateral mana-mana pihak atau menghalang Malaysia daripada menyokong dan mengutamakan dialog damai, persefahaman dua hala atau sikap kekangan dan kawalan diri (restraint) pihak-pihak terlibat.
“Apabila PM Anwar dilihat cuba menganjurkan kemungkinan penggunaan kekerasan dalam isu ini, beliau tanpa disedari telah menyempitkan ruang diplomasi Malaysia, selain melemahkan pendirian dan kecenderungan ASEAN dalam mengutamakan dasar tidak campur tangan, penyelesaian konflik secara aman dan autonomi strategik gabungan negara berjiran itu sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Takiyuddin, PAS menegaskan Malaysia tidak harus membiarkan ia dilihat memihak kepada mana-mana kuasa besar dalam pertikaian dan konflik yang berpotensi besar menjadi lebih buruk.
Ujarnya, kekuatan negara sangat bergantung kepada kemampuan menjalin hubungan konstruktif dengan China, Amerika Syarikat, Taiwan atau rakan kongsi lain di semua peringkat dan dalam pelbagai bidang, sekali gus mempertahankan kepentingan negara.
Dalam pada itu, tambahnya, kepimpinan Anwar juga dilihat gagal mengetengahkan citra kepimpinan bijaksana dan berpandangan jauh yang mengutamakan pendekatan damai berkait isu yang mempunyai kesan antarabangsa yang besar dan luas.
“Beliau seharusnya menzahirkan kepercayaan dan harapan positif Malaysia agar kedua-dua pihak boleh merapatkan jurang yang wujud secara aman melalui dialog yang bukan sahaja akan memberi manfaat kepada rakyat masing-masing, tetapi juga mengekalkan kestabilan wilayah dan dunia,” katanya.
Tambah Takiyuddin, turut menjadi kebimbangan serius adalah laporan media utama yang memetik kenyataan jurucakap kerajaan bahawa “Kabinet tidak membincangkan kenyataan Anwar berkenaan Taiwan dalam mesyuarat Kabinet”.
Ujarnya, ia menimbulkan persoalan amat penting mengenai koordinasi dan tanggungjawab kolektif anggota kerajaan berhubung dasar luar Malaysia.
Selain itu, ujarnya, Pas turut menegaskan Malaysia tidak harus dipaksa memilih antara Beijing dengan Taipei atau antara Beijing dengan Washington.
“Sebaliknya tanggungjawab lebih besar kita sebagai sebuah negara yang dihormati ialah mendorong kedua-dua pihak mencari titik pertemuan bersama yang menguntungkan semua pihak,” katanya.
Tambah beliau, situasi ketegangan semasa ini yang turut dipengaruhi oleh perkembangan politik domestik kedua-dua pihak tidak harus diterima sebagai trajektori ke arah konflik yang muktamad dan tidak boleh diterbalikkan.
“Akhirnya Malaysia perlu menampilkan kepimpinan bijaksana yang mampu berdiri lebih tinggi daripada pertikaian yang wujud, berprinsip untuk mempertahankan komitmen diplomatik kita yang telah mantap, berpandangan jauh dalam memelihara ruang strategik negara, selain tidak bersikap sewenang-wenang dan reaktif untuk segera mengutamakan keamanan serta kestabilan mengatasi penjajaran geopolitik jangka pendek,” katanya. – PentasDaily

