Ahli akar umbi DAP.

KUALA LUMPUR: Seramai 14 akar umbi DAP membidas kenyataan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer berhubung isu binaan yang didakwa berkemungkinan tidak mematuhi undang-undang.

Dalam satu kenyataan bersama, mereka menegaskan pemimpin perlu mendidik masyarakat supaya menghormati undang-undang, bukannya mempertahankan tindakan yang berkemungkinan melanggarnya.

Tambahnya, pemimpin juga perlu menyemak fakta dan mengambil pendirian tidak berpihak apabila sesuatu tindakan didakwa bercanggah dengan perundangan negara serta melibatkan kepentingan masyarakat.

“Tiada siapa yang ‘above the law’, tidak terkecuali pemimpin besar negara, kerana itu adalah panduan setiap warga Malaysia.

“Kita harus konsisten dalam hal ini dan tidak sepatutnya mengamalkan sikap dwi piawai,” katanya hari ini.

Kenyataan bersama itu ditandatangani 14 ahli DAP termasuk Pengerusi DAP Cawangan Setia Impian, Muhammad Shakir Ameer Mohideen; Pengerusi DAP Cawangan Bandar Baru Bangi, Farhan Haziq; Pengerusi DAP Cawangan Pusat Bandar Shah Alam, Nor Miswary Ramli serta Naib Ketua DAPSY Selangor, Nur Rahim Nasir.

Turut menandatangani kenyataan itu ialah beberapa pemimpin dan anggota DAP di peringkat cawangan termasuk dari Alam Jaya; Pekan Paloh; Kampung Baru Batu 9 Cheras; Taman Kemuncak; Kampung Tunku SS1; Bandar Baru Bangi; Kampung Baru Pasir Pinji dan Taman Seroja.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada isu berhubung perobohan Kuil Veeramakaliamman di Bukit Lagi, Kangar, Perlis yang turut mendapat perhatian Rayer dan Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Mohd. Asri Zainul Abidin.

Sementara itu, mereka menambah, prinsip Kedaulatan Undang-Undang dalam Rukun Negara menuntut semua pihak menjunjung undang-undang melangkaui kepentingan parti dan peribadi, selain konsep ‘rule of law’ yang menjadi pegangan DAP sejak sekian lama perlu dilaksanakan secara konsisten.

Katanya, perbincangan bagi mencari penyelesaian terbaik amat digalakkan demi kesejahteraan bersama, namun tidak harus dijadikan alasan untuk menggalakkan pelanggaran undang-undang.

Ujarnya, sebarang kenyataan yang dibuat secara melulu lebih-lebih lagi oleh pemimpin yang mempunyai latar belakang perundangan boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.

“Ia juga boleh memberi gambaran seolah-olah tindakan pencerobohan atas nama agama boleh dipertahankan dan keadaan ini amat membahayakan hubungan antara agama dan kaum di Malaysia,” katanya.

Tambah kenyataan itu, isu berkaitan binaan perlu ditangani berdasarkan fakta, peruntukan undang-undang dan saluran yang sewajarnya bagi memastikan penyelesaian dicapai tanpa mengabaikan prinsip Kedaulatan Undang-Undang. – PentasDaily

By Editor3

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *