Foto: FB Ahmad Samsuri Mokhtar

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Pas yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menitipkan lima pesanan khusus buat Pemuda Pas.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, Pemuda Pas perlu mencari pengalaman, bukannya menunggu pengalaman datang kepada mereka.

Menurutnya, anak muda perlu diberi dan mencari sebanyak mungkin ruang untuk belajar, mencuba dan memikul tanggungjawab.

“Bukan sekadar belajar dalam bilik kuliah, tetapi belajar daripada pengalaman sebenar dan daripada mereka yang telah melalui perjalanan lebih jauh,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Sementara itu, Ahmad Samsuri turut berpesan supaya Pemuda Pas mempercepatkan proses menimba ilmu dan kemahiran, dan tidak menunggu usia meningkat untuk mula hendak belajar.

“Belajarlah daripada orang lain. Dekati mereka yang mempunyai pengalaman dan kepakaran.

“Banyak perkara yang boleh dipelajari dengan lebih cepat apabila kita sedia mendengar, memerhati dan bertanya,” katanya.

Selain itu, ujarnya, Pemuda Pas turut dinasihatkan supaya tidak berada dalam ‘circle’ sendiri, sebaliknya perlu berani keluar daripada kelompok yang biasa.

Menurutnya, Pemuda Pas perlu berbual dan bertukar pandangan dengan ahli akademik, usahawan, profesional, tokoh masyarakat dan anak muda daripada pelbagai latar belakang.

“Kita tidak semestinya perlu bersetuju dengan semua orang. Tetapi kita perlu belajar memahami dunia daripada pelbagai sudut pandang,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut menasihatkan Pemuda Pas supaya menguasai lebih daripada satu bahasa, memandangkan bahasa disifatkan membuka pintu kepada ilmu, masyarakat dan dunia.

Selain Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris ujarnya, lebih ramai anak muda yang mampu menguasai bahasa Mandarin, Tamil, Arab, Jepun, Korea dan bahasa-bahasa lain perlu dilahirkan.

“Bayangkan 10 tahun akan datang, kita mempunyai generasi anak muda yang mampu berkomunikasi dengan masyarakat dan dunia tanpa batas bahasa.

“Itu satu kelebihan yang luar biasa,” katanya.

Tambah beliau, Pemuda Pas juga perlu berani keluar daripada lingkungan yang selesa dan membina jaringan, menghadiri forum dan menyertai persidangan.

“Dekati masyarakat daripada pelbagai latar belakang.

“Kerana pemimpin masa hadapan tidak boleh hanya memahami kelompoknya sendiri.

“Dia mesti memahami masyarakat. Dia mesti memahami perubahan. Dan dia mesti memahami dunia.

“Pesanan saya kepada para pemuda, gunakan usia muda ini untuk mengumpul bekalan. Kumpul ilmu. Kumpul pengalaman. Bina kemahiran. Luaskan jaringan.

“Kerana apabila sampai waktunya untuk memikul amanah yang lebih besar, kita tidak mahu sekadar mempunyai semangat,” katanya.

Menurutnya lagi, negara perlu melahirkan generasi yang berilmu, berkemahiran, matang dan bersedia untuk menyumbang kepada agama, masyarakat dan negara. – PentasDaily

By Editor3

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *