Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, K. Kumaran.

KUALA LUMPUR: Seramai 43 pemimpin dan ahli akar umbi DAP Pulau Pinang hari ini melahirkan rasa amat kesal dengan tindakan sekumpulan 15 akar umbi DAP yang memilih mengeluarkan kenyataan secara terbuka bagi membidas RSN Rayer berhubung isu rumah ibadat Hindu.

Dalam satu kenyataan bersama, mereka mempersoalkan mengapa perkara seperti itu perlu dibawa ke ruang awam sebelum saluran dalaman parti digunakan sepenuhnya, sedangkan DAP mempunyai struktur, disiplin dan saluran komunikasi dalaman yang jelas.

“Kita boleh berbeza pandangan. Itu perkara biasa dalam sebuah parti demokratik.

“Tetapi adakah menyerang rakan dan pemimpin sendiri secara terbuka merupakan cara terbaik untuk menyelesaikan perbezaan tersebut?” demikian menurut kenyataan itu.

Antara yang turut serta dalam kenyataan bersama itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, K. Kumaran.

Menurut kenyataan itu, sekiranya terdapat ketidaksetujuan terhadap kenyataan atau pendekatan mana-mana pemimpin parti, perkara tersebut sepatutnya dibawa melalui saluran parti.

“Berbahaslah secara dalaman, kemukakan fakta dan cari pendirian bersama.

“Jangan kita sendiri menyediakan peluru kepada pihak lawan untuk menyerang parti dan menggambarkan DAP sebagai sebuah parti yang berpecah,” katanya.

Dalam pada itu, mereka turut menyatakan pendirian mempertahankan Rayer yang disifatkan tidak melakukan sesuatu yang salah dengan meminta ruang untuk rundingan dan mencari penyelesaian sebelum tindakan terhadap sebuah rumah ibadat diambil.

“Beliau (Rayer) tidak meminta sesiapa melanggar undang-undang.

“Beliau juga tidak mengatakan undang-undang tidak perlu dihormati.

“Beliau bersuara kerana terdapat sebuah komuniti yang terkesan dan beliau mahu satu penyelesaian dicari melalui perbincangan. Bukankah itu juga tugas seorang wakil rakyat?” katanya.

Sementara itu, tambahnya, rule of law bukan lesen untuk pihak yang mempunyai kuasa membuli mereka yang lemah atau kelompok minoriti.

Ujarnya, undang-undang mesti dilaksanakan secara adil, munasabah dan dengan mengambil kira due process.

Dalam isu sensitif seperti rumah ibadat, katanya, rundingan dan usaha mencari penyelesaian sepatutnya didahulukan sebelum mengambil tindakan yang tidak boleh dipulihkan.

“Kita dalam DAP sepatutnya lebih memahami perkara ini daripada sesiapa.

“DAP sendiri mempunyai sejarah panjang menentang undang-undang dan tindakan kerajaan yang kita anggap tidak adil.

“Kita menentang ISA bukan kerana kita menolak Rule of Law. Kita menentangnya kerana kita percaya bahawa kewujudan sesuatu undang-undang tidak secara automatik menjadikan setiap undang-undang itu adil,” katanya. – PentasDaily

By Editor3

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *