KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) tidak mempunyai kuasa untuk memberikan surat tunjuk sebab kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung aduan Ahli-Ahli Parlimen parti itu kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berhubung isu `cukup korum’ mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.
Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr. Marzuki Mohamad berkata, Setiausaha Agung PN sepatutnya mendapatkan penjelasan daripada RoS, bukan daripada Bersatu berhubung perkara berkenaan.
Ini kerana, menurutnya, hanya RoS yang mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada sesebuah pertubuhan adalah sah di sisi undang-undang.
“BERSATU sehingga kini tidak menerima apa-apa notis daripada ROS berhubung isu cukup korum MPT BERSATU,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Sehubungan itu, tambah Marzuki, pada masa mesyuarat Majlis Tertinggi PN diadakan pada 16 Julai lalu sehingga kini, Bersatu adalah sebuah pertubuhan yang sah dan anggota PN yang sah.
Malah, menurutnya, hal itu juga diakui oleh Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menerusi kenyataan kepada media pada 9 Ogos lalu.
Justeru, jelas beliau, Bersatu berhak dijemput menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai lalu dan kegagalan berbuat demikian adalah suatu pelanggaran Perlembagaan PN yang serius.
“MPT BERSATU juga telah menggunakan kuasanya di bawah Fasal 27 Perlembagaan BERSATU untuk mentafsirkan cukup korum mesyuarat MPT BERSATU dan tafsiran MPT BRRSATU adalah muktamad,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengesahkan beliau dipanggil untuk memberi keterangan RoS semalam.
Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS memaklumkan, beliau memberi keterangan selama empat jam bagi menjelaskan perkara yang berlaku susulan aduan dibuat oleh pimpinan Bersatu.
RoS sebelum ini mengesahkan menerima aduan rasmi daripada Bersatu berhubung dakwaan parti itu tidak dilibatkan dalam Mesyuarat MPT pada 16 Julai lalu.
RoS memaklumkan aduan berkenaan yang diterima itu turut menyentuh isu berkaitan kedudukan keanggotaan Bersatu dalam gabungan berkenaan. – PentasDaily

