Foto: Sumber Media Sosial.

NARATHIWAT: Beberapa kejadian letupan dan kebakaran dilaporkan berlaku di wilayah sempadan Thailand termasuk berhampiran Pekan Golok malam tadi.

Memetik laporan Bangkok Post, kejadian berlaku sekitar pukul 8 malam apabila letupan mula kedengaran di sepanjang jalan di daerah Rangae, Narathiwat.

Selain itu, letupan dipercayai akibat serangan bom turut kedengaran di daerah Cho Airong; Yi-Ngo dan Sungai Padi yang mengakibatkan dua penumpang yang menaiki sebuah kenderaan cedera.

Letupan turut kedengaran di persimpangan Masjid Dalaepalas yang mana serpihan letupan turut merosakkan kenderaan dan mencederakan dua wanita.

Pegawai keselamatan Thailand kemudian melaporkan serangan berlaku sekurang-kurangnya di 11 lokasi di Narathiwat.

Sementara itu, di Yala pula, kumpulan penyerang dipercayai membakar menara telekomunikasi yang dikendalikan oleh dua syarikat rangkaian serta membakar dua kenderaan milik sebuah pertubuhan pentadbiran.

Ketua Daerah Sungai Kolok, Sopiyan Daemoleng berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai memasang bom di sebuah pondok rehat di tepi jalan.

Tiada kecederaan atau kematian dilaporkan, namun pegawai keselamatan kini mengepung kawasan tersebut dan menjalankan siasatan terhadap kejadian itu, sambil meningkatkan tahap keselamatan di kawasan sekitarnya.

Susulan beberapa siri serangan itu, Pasukan Petugas Khas Narathiwat mengenakan perintah berkurung mulai jam 10.15 malam tadi  hingga 6 pagi ini, bagi memperketatkan kawalan.

Pemerintah Hadapan Wilayah 4, Komando Operasi Keselamatan Dalam Negeri turut menggesa penduduk supaya terus berwaspada, menjauhi lokasi serangan dan kawasan yang ditetapkan sebagai zon keselamatan serta tidak mendekati atau mengalihkan objek yang mencurigakan.

Orang ramai turut diberi amaran supaya tidak menyiarkan gambar, rakaman video atau lokasi semasa anggota keselamatan, dengan menyatakan bahawa maklumat sedemikian boleh menjejaskan operasi keselamatan dan usaha mengesan pihak yang bertanggungjawab. – PentasDaily

By Editor3

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *