Sebuah bangunan musnah sepenuhnya selepas dibadai banjir lumpur di kawasan sempadan Nepal-Tibet hari ini.

KATHMANDU – Sekurang-kurangnya 22 orang maut manakala ratusan lagi dilaporkan hilang selepas banjir lumpur dan banjir kilat melanda kawasan sempadan Nepal-Tibet, hari ini.

Daerah Rasuwa antara kawasan paling terjejas apabila arus deras Sungai Bhotekoshi membawa lumpur dan batu sehingga menghanyutkan kediaman serta merosakkan jalan raya dan jambatan.

Jalan sepanjang kira-kira 42 kilometer yang menghubungkan Nuwakot dengan pintu sempadan Rasuwagadhi itu rosak teruk, manakala beberapa jambatan musnah sepenuhnya.

Di sebelah Tibet, tanah runtuh besar dilaporkan berlaku di kawasan Gyirong Port, menyebabkan laluan darat, bekalan elektrik dan komunikasi terputus.

Pihak berkuasa China turut melaporkan sejumlah mangsa, dengan beberapa individu masih belum ditemui.

Sementara itu, pihak berkuasa Nepal melaporkan sekurang-kurangnya 384 pelancong, termasuk 291 warga asing, masih belum dapat dikesan selepas bencana itu.

Mereka termasuk warga Malaysia, India, Amerika Syarikat, Britain dan Korea Selatan yang dipercayai dalam perjalanan menuju kawasan Gunung Kailash di Tibet.

Punca sebenar bencana masih disiasat, namun laporan awal menyatakan gempa bumi bermagnitud 4.4 mungkin mencetuskan runtuhan ais dan batu yang menghalang aliran sungai sebelum menghasilkan gelombang banjir besar.

Bagaimanapun, kaitan gempa itu dengan bencana masih belum disahkan sepenuhnya.

Operasi mencari dan menyelamat kini digerakkan pasukan tentera serta keselamatan Nepal dengan bantuan helikopter.

Keadaan air yang tinggi selain kemusnahan infrastruktur bagaimanapun menyukarkan operasi berkenaan, manakala pihak berkuasa turut memberi amaran mengenai kemungkinan berlaku banjir susulan.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *