Tangkap layar video seekor gajah yang cedera pada bahagian kaki yang dikesan berkeliaran di Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik, Perak, sejak 17 Ogos lalu.

KUALA LUMPUR: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak mengambil perhatian dan tindakan berterusan bagi memantau kemandirian seekor gajah liar jantan dewasa yang dikesan berkeliaran di Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik, Perak, sejak 17 Ogos lalu.

PERHILITAN dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, hasil pemantauan mendapati gajah berkenaan mengalami kecederaan pada kaki hadapan sebelah kanan.

Bagaimanapun, katanya, keadaan fizikal dan tingkah laku gajah itu adalah normal serta masih mampu makan dan bergerak dengan baik.

Jelasnya, keadaan luka juga didapati semakin kering dan menunjukkan tanda-tanda pemulihan.

“Jabatan PERHILITAN telah mengambil tindakan menggiring gajah tersebut kembali masuk ke kawasan hutan serta melaksanakan pemantauan terhadap pergerakan dan keadaannya.

“Memandangkan gajah berkenaan masih kembali ke kawasan jalan raya, pemantauan dan tindakan menggiring akan diteruskan setiap hari dengan kekerapan dua kali sehari, iaitu pada waktu siang dan malam,” katanya.

Tambahnya, PERHILITAN turut memperkukuh kesiapsiagaan anggota di lapangan termasuk mendapatkan penilaian doktor veterinar bagi menentukan keadaan fizikal serta kecederaan gajah berkenaan dan keperluan tindakan susulan.

Sebagai langkah pencegahan, ujarnya, PERHILITAN menasihatkan pengguna JRTB, khususnya di sekitar Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Titiwangsa, supaya memperlahankan kenderaan, khususnya dalam lingkungan lima kilometer sebelum tiba di Hentian R&R Titiwangsa dari kedua-dua arah.

Katanya, pengguna hendaklah sentiasa mematuhi arahan anggota penguat kuasa dan petugas PERHILITAN sekiranya berada di kawasan pemantauan, tidak mengambil gambar atau video gajah kerana tindakan tersebut boleh menyebabkan kenderaan berhenti dan mengganggu kelancaran aliran trafik.

“Pemberian makanan atau meletakkan makanan untuk gajah adalah ditegah di sepanjang JRTB,” ujarnya.

Tambahnya, PERHILITAN prihatin terhadap keselamatan pengguna jalan raya dan kebajikan hidupan liar.

Katanya, sebarang tindakan lanjut akan dilaksanakan berdasarkan keadaan semasa di lapangan dengan mengambil kira aspek keselamatan orang awam, pengguna jalan raya dan gajah berkenaan.

“Pada mana-mana ketika apabila berdepan dengan hidupan liar termasuk gajah, pengguna jalan raya perlu peka dengan tidak berhenti atau keluar dari kenderaan sekiranya hidupan liar berada di bahu jalan dan tidak menunjukkan tingkah laku agresif atau apa jua bentuk provokasi,” katanya.

Tambahnya, orang awam yang menggunakan JRTB, khususnya laluan sekitar Gerik dan Hentian R&R Titiwangsa, diminta supaya sentiasa berhati-hati, tidak panik dan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan semua pihak terjamin.

“Sebarang aduan boleh disalurkan melalui talian hotline 1-800-88-5151 atau Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di laman sesawang rasmi www.wildlife.gov.my,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial video seekor gajah yang dipercayai Sulong yang sedang berjalan dalam keadaan kaki kanan hadapan cedera.

Menurut beberapa hantaran tular di media sosial, Sulong dikatakan berasal dari Chalil, Gua Musang sebelum dipindahkan ke kawasan hutan di Gerik dalam operasi translokasi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

Bagaimanapun, selepas dipindahkan, Sulong dipercayai bergerak semula menghala ke kawasan asalnya dan menempuh perjalanan yang jauh. – PentasDaily

By Editor3

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *