Foto: FB KL International Airport

KUALA LUMPUR: Malaysia menerima 88,058 penerbangan antarabangsa pada separuh pertama tahun ini, iaitu 3.7 peratus kurang daripada yang dijadualkan pada asalnya, iaitu 91,486 penerbangan antarabangsa.

Bagaimanapun, menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, sebanyak 4,111 penerbangan berjadual dibatalkan akibat ketegangan geopolitik di Timur Tengah.

Selepas pelarasan, katanya, sebanyak 683 penerbangan baharu ditambah menjadikan jumlah keseluruhan penerbangan 3,428 kurang daripada jadual asal.

“Kesan konflik Timur Tengah jelas tergambar dalam operasi penerbangan.

“Sejak konflik bermula pada Februari, bilangan penerbangan berjadual yang dibatalkan setiap bulan terus meningkat.

Sembilan penerbangan dibatalkan pada Februari. Angka itu meningkat kepada lebih 300 pada Mac, hampir 1,000 pada April dan 1,419 penerbangan antarabangsa ke Malaysia pada Jun,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Menurut King Sing, syarikat-syarikat penerbangan pada asalnya telah merancang kekerapan penerbangan, jenis pesawat dan kapasiti tempat duduk bagi separuh pertama tahun ini, dengan kapasiti maksimum dijangka mencecah 18.34 juta tempat duduk.

Namun, jelasnya, krisis di Timur Tengah menjejaskan sebahagian penerbangan yang telah dijadualkan, termasuk pembatalan penerbangan, penerbangan yang tidak dapat beroperasi mengikut perancangan serta perubahan jenis pesawat.

Pada masa sama, ujarnya, terdapat laluan yang menambah kekerapan penerbangan atau memperkenalkan penerbangan baharu.

Kata beliau, selepas mengambil kira semua pertambahan dan pengurangan ini, kapasiti tempat duduk sebenar pada separuh pertama 2026 adalah kira-kira 17.63 juta, iaitu 3.9 peratus lebih rendah daripada unjuran asal.

Bagaimanapun, ujarnya, ia tidak bermakna kapasiti penerbangan keseluruhan lebih rendah berbanding tahun lalu.

“Jika dibandingkan dengan 16.627 juta tempat duduk yang tersedia pada tempoh sama pada 2025, kapasiti tempat duduk bagi separuh pertama tahun ini masih meningkat 6 % atau lebih satu juta tempat duduk.

“Ini bermaksud, walaupun kapasiti sebenar tidak mencapai unjuran asal sepenuhnya, jumlah keseluruhan tempat duduk penerbangan masih meningkat berbanding tempoh sama tahun lalu,” katanya.

Tambah beliau, jaringan penerbangan antarabangsa Malaysia juga terus berkembang yang mana dari Januari hingga Julai tahun ini, sebanyak 23 laluan baharu, 12 perkhidmatan penerbangan baharu ke Malaysia dan sembilan perkhidmatan penerbangan sewa khas diperkenalkan, menjadikan keseluruhannya 44 perkhidmatan penerbangan baharu.

Ujarnya, penerbangan dari Asia Timur Laut mencatatkan peningkatan kapasiti tempat duduk terbesar berbanding tempoh sama tahun lalu, dengan tambahan lebih 500,000 tempat duduk, atau peningkatan 11.9 peratus.

Selain itu, menurutnya, penerbangan dari negara ASEAN mencatatkan peningkatan kedua terbesar, dengan tambahan 376,423 tempat duduk, atau 4.5 peratus.

“Penurunan paling ketara dilihat pada penerbangan dari Timur Tengah, apabila kapasiti tempat duduk merosot daripada lebih satu juta pada enam bulan pertama tahun lalu kepada 806,532 pada separuh pertama tahun ini.

“Ini termasuk penerbangan dari Eropah yang menggunakan Timur Tengah sebagai hab transit, dengan kapasiti tempat duduk merosot lebih 20% berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Kesan pembatalan penerbangan itu turut tergambar dalam pertumbuhan ketibaan pelawat antarabangsa ke Malaysia yang lebih perlahan,” katanya. – PentasDaily

By Editor3

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *