Foto: FB Selangor Royal Office

KUALA LUMPUR:  Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah Jalur Gemilang (Bendera Malaysia) bukan sekadar bendera yang dikibarkan ketika menyambut kemerdekaan, sebaliknya merupakan lambang sebuah negara yang dimiliki dan dikongsi bersama oleh seluruh rakyat Malaysia.

Baginda bertitah demikian menerusi kenyataan yang turut dimuat naik di laman sosial Facebook Selangor Royal Office hari ini.

“Walaupun kita berbeza bangsa, agama, bahasa, fahaman politik dan latar belakang, Jalur Gemilang (Bendera Malaysia) mengingatkan bahawa kita tetap rakyat sebuah negara yang sama. Bendera ini milik kita semua. Kita perlu bangga kerana ia adalah simbol perpaduan nasional,” titah baginda.

Baginda mengingatkan bahawa semangat Hari Kemerdekaan juga harus diterjemahkan dengan mengenang dan menghargai jasa rakyat Malaysia yang sepanjang kehidupan mereka telah berusaha menyatukan masyarakat dan merapatkan jurang perbezaan.

Pada masa yang sama, baginda mahu generasi muda dididik untuk menghormati masyarakat daripada agama, kaum dan budaya yang berbeza.

“Para pemimpin dan ahli politik pula hendaklah menunjukkan teladan dengan mengamalkan kesederhanaan, toleransi dan sifat belas ihsan, serta tidak menjadikan perbezaan politik, kaum atau agama sebagai alasan untuk memecahbelahkan rakyat,” titah baginda.

Baginda bertitah, mengibarkan ribuan Jalur Gemilang (Bendera Malaysia) sepanjang bulan kemerdekaan adalah mudah.

Namun, tugas yang jauh lebih besar ialah membina sebuah Malaysia di mana rakyat daripada setiap kaum, agama dan latar belakang benar-benar berasa dihormati, diterima dan bangga menjadi rakyat Malaysia.

Baginda turut mengingatkan bahawa Jalur Gemilang (Bendera Malaysia) tidak pernah membezakan bangsa Melayu, Cina, India, Kadazan-Dusun, Iban atau mana-mana kaum; juga tidak membezakan Muslim, Buddha, Kristian, Hindu atau apa jua kepercayaan.

Justeru, baginda menyeru seluruh rakyat supaya menjadikan sambutan ulang tahun kemerdekaan Malaysia sebagai kesempatan untuk memperkukuh semula semangat perpaduan, solidariti (togetherness) dan rasa saling hormat-menghormati.

“Kemerdekaan bukan sekadar untuk diraikan dan bendera bukan sekadar untuk dikibarkan. Nilai sebenar kedua-duanya terletak pada kemampuan kita semua mempertahankan sebuah negara yang rakyatnya dapat hidup bersama dalam aman, saling menghormati dan bersatu padu,” titah baginda.

Terdahulu, Sultan Selangor berkenan agar Jalur Gemilang (Bendera Malaysia) dikibarkan di Tiang Bendera Negeri Selangor di Dataran Selangor, bermula pada 26 Ogos 2026 sehingga 17 September 2026, bersempena sambutan kemerdekaan Malaysia yang ke-69.

Sehubungan itu, satu upacara menaikkan Jalur Gemilang (Bendera Malaysia) telah berlangsung hari ini di Dataran Selangor sebagai simbol kecintaan kepada tanah air serta bagi menyemarakkan semangat patriotisme dan perpaduan rakyat. – PentasDaily

By Editor3

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *